11 ditahan, 79 maut kebakaran resort ski di Turki

11 ditahan, 79 maut kebakaran resort ski di Turki

Antara yang ditahan ialah timbalan datuk bandar Bolu, ketua bomba majlis perbandaran, pemilik hotel, pengurus besar syarikat dan pengurus hotel.

APTOPIX Turkey Fire
Gabenor Bolu Abdulaziz Aydin berkata kebakaran kira-kira 3.30 pagi Selasa waktu tempatan di kawasan restoran hotel Pusat Peranginan Ski di Kartalkaya dengan cepat merebak ke seluruh bangunan. (Gambar AP)
ISTANBUL:
Pihak berkuasa Turki menahan 11 individu dalam siasatan ke atas kebakaran sebuah hotel di pusat peranginan ski di Wilayah Bolu, dengan angka korban meningkat kepada 79 orang, lapor Agensi Anadolu (AA) pada Rabu.

Kebakaran kira-kira 3.30 pagi Selasa waktu tempatan di kawasan restoran hotel Pusat Peranginan Ski di Kartalkaya dengan cepat merebak ke seluruh bangunan, menurut Gabenor Bolu, Abdulaziz Aydin.

Seramai 17 mangsa cedera dibenarkan keluar hospital, manakala seorang lagi masih dirawat di unit rawatan rapi, kata Menteri Kesihatan, Kemal Memisoglu.

Menurut Menteri Kehakiman, Yilmaz Tunc, Pejabat Ketua Pendakwa Raya Bolu sedang menjalankan siasatan menyeluruh.

“Antara yang ditahan termasuk timbalan datuk bandar Bolu yang bertanggungjawab ke atas jabatan bomba, ketua bomba majlis perbandaran, pemilik hotel, pengurus besar syarikat dan pengurus hotel,” tulis Tunc di platform X.

Beliau berkata, pasukan terdiri daripada tujuh pakar sedang menjalankan pemeriksaan di lokasi kejadian untuk menentukan punca kebakaran dan jika wujud sebarang unsur kecuaian.

Menteri Dalam Negeri, Ali Yerlikaya yang mengesahkan skop siasatan berkata, usaha sedang dijalankan untuk memastikan semua pihak bertanggungjawab dihadapkan ke muka pengadilan.

Kebakaran itu mengambil lebih 10 jam untuk dikawal. Operasi pemadaman turut dibantu pasukan kecemasan dari bandar berdekatan, termasuk unit tindak balas bencana dan petugas perubatan yang dibantu helikopter.

Presiden Turki, Recep Tayyip Erdogan menyampaikan ucapan takziah dan menegaskan kebakaran itu “sedang disiasat secara menyeluruh dan langkah sewajarnya akan diambil untuk memastikan pihak bertanggungjawab dikenakan tindakan”.

Ramai pemimpin dunia, termasuk pegawai Kesatuan Eropah dan pemimpin negara jiran menyampaikan ucapan takziah kepada Turki dan keluarga mangsa.

Kartalkaya yang terletak di wilayah Bolu, antara destinasi pelancongan musim sejuk terkemuka di Turki yang dikunjungi ribuan pelawat.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.