
Hari ini sepatutnya melihat permulaan perbicaraannya, namun Axel Rudakubana, 18, mengaku membunuh tiga budak kanak-kanak itu di kelas tarian bertemakan Taylor Swift di Southport, barat laut England.
Kejadian Julai lalu itu menggemparkan UK dan mencetuskan rusuhan di puluhan pekan serta bandar England dan Ireland Utara, termasuk Southport dan Liverpool.
Pihak berkuasa menyalahkan golongan haluan kanan yang menghasut keganasan termasuk mengongsikan maklumat palsu bahawa penyerang berkenaan adalah peminta suaka beragama Islam.
Bebe King, enam tahun; Elsie Dot Stancombe, tujuh; dan Alice da Silva Aguiar, sembilan, mati dalam serangan di bandar peranginan pesisir pantai berhampiran Liverpool itu pada 29 Julai 2024.
Sepuluh yang lain cedera, termasuk lapan kanak-kanak dalam kes tikam besar-besaran paling buruk di negara itu sejak sekian lama.
Rudakubana mengaku salah atas 16 tuduhan, termasuk tiga tuduhan bunuh, 10 tuduhan cubaan membunuh, dan satu tuduhan memiliki pisau.
Dia turut mengaku menghasilkan toksin ricin, selain memiliki manual latihan Al-Qaeda. Bagaimanapun, serangan itu tidak dianggap kejadian keganasan.
Remaja itu enggan berdiri di mahkamah dan tidak bersuara melainkan untuk berkata “bersalah” ketika tuduhan dibacakan. Mahkamah menetapkan Khamis untuk menjatuhkan hukuman.
Pengakuan tidak bersalah sebelum ini direkodkan bagi pihak Rudakubana pada Disember lalu apabila dia berdiam diri di mahkamah.
Rusuhan dan kekacauan akibat kejadian itu berlangsung beberapa hari dengan perusuh berhaluan kanan menyerang polis, kedai, hotel yang menempatkan peminta suaka, serta masjid. Ratusan orang ditahan dan didakwa atas pelbagai tuduhan.
Agensi berita Press Association melaporkan, guru remaja itu pernah menyuarakan kebimbangan mengenai kelakuannya.
Rudakubana yang didiagnos dengan kecelaruan spektrum autism dilahirkan di Cardiff, Wales, dalam keluarga berasal dari Rwanda.
Walaupun berusia 17 tahun ketika kejadian, namanya kemudian disiarkan pada Ogos disebabkan kebimbangan akibat daripada penyebaran maklumat salah.