Presiden Korea Selatan Yoon ditahan

Presiden Korea Selatan Yoon ditahan

Yoon Suk Yeol ditahan untuk disoal siasat atas dakwaan pengisytiharan undang-undang tentera pada 3 Dis lalu.

Yoon Suk-yeol
Presiden Korea Selatan, Yoon Suk Yeol tiba di Pejabat Siasatan Rasuah bagi Pegawai Berpangkat Tinggi di Gwacheon, selatan Seoul. (Gambar AP)
PETALING JAYA:
Penyiasat menahan Presiden Korea Selatan, Yoon Suk Yeol di kediamannya pada Rabu dan membawanya untuk disoal siasat atas dakwaan pengisytiharan undang-undang tentera pada 3 Dis lalu.

Waran tangkap Yoon dilaksanakan pada 10.33 pagi, menurut laporan agensi berita Yonhap memetik Pejabat Siasatan Rasuah bagi Pegawai Berpangkat Tinggi (CIO).

Rakaman TV secara langsung menunjukkan konvoi kenderaan membawa Yoon meninggalkan perkarangan kediaman presiden di tengah Seoul menuju pejabat CIO di Gwacheon, selatan Seoul.

Yoon yang digantung tugas selepas Dewan Negara yang dikuasai pembangkang meluluskan usul pemecatannya pada 14 Dis lalu, berdepan pertuduhan mengatur pemberontakan dan menyalahgunakan kuasa.

Dia dituduh mengarahkan tentera ke Parlimen selepas mengisytiharkan undang-undang tentera pada malam 3 Dis untuk menghalang Ahli Parlimen membatalkan dekri itu.

Yoon dijangka ditahan di Pusat Tahanan Seoul di Uiwang dekat pejabat CIO, selepas disoal siasat.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.