Interpol lancar alat baharu jejak aset penjenayah

Interpol lancar alat baharu jejak aset penjenayah

Notis Perak boleh digunakan untuk meminta maklumat mengenai pendapatan hasil jenayah seperti penipuan, rasuah, pengedaran dadah dan jenayah alam sekitar.

interpol
Interpol julung kali mengeluarkan Notis Perak pada Jumaat atas permintaan polis kewangan di Palermo bagi mendapatkan maklumat dari 195 negara anggota mengenai aset seorang ketua tertinggi Mafia. (Gambar Reuters)
PARIS:
Polis antarabangsa (Interpol) memperkenalkan alat baharu, Notis Perak bagi meningkatkan usaha mengesan aset penjenayah, menurut agensi berita Jerman (dpa).

Buat julung kali, Interpol mengeluarkan Notis Perak pada Jumaat atas permintaan polis kewangan di Palermo, Sicily, Itali bagi mendapatkan maklumat dari 195 negara anggota Interpol mengenai aset seorang ketua tertinggi Mafia.

Notis Perak boleh digunakan untuk meminta maklumat mengenai pendapatan hasil jenayah seperti penipuan, rasuah, pengedaran dadah dan jenayah alam sekitar.

Alat ini juga direka bagi memudahkan usaha mengesan aset terbabit dalam aktiviti pengubahan wang haram. Interpol berkata, negara anggota kemudian boleh meminta negara lain menyita aset terbabit.

“Merampas keuntungan haram penjenayah dan rangkaian mereka satu daripada cara paling berkesan membanteras jenayah terancang rentas sempadan,” kata Setiausaha Agung Interpol, Valdecy Urquiza.

Fasa ujian Notis Perak akan berterusan sekurang-kurangnya hingga November ini. Pada peringkat awal, hanya 52 negara dan wilayah dibenar mengemukakan permohonan untuk penghantaran notis ini.

Interpol yang berpusat di Lyon, Perancis, menyelaras kerjasama polis antarabangsa, termasuk memudahkan pertukaran maklumat mengenai individu dikehendaki dan hilang.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.