New York laksana tol sesak, setahun kutip USD1 bilion

New York laksana tol sesak, setahun kutip USD1 bilion

Kesan pelaksanaan mampu kurangkan jumlah kenderaan masuk sebanyak 10%.

New York City menjadi bandar raya pertama di AS melaksanakan pelan harga kesesakan. (Gambar EPA Images)
NEW YORK:
Pelan harga kesesakan kenderaan meliputi kawasan Lower dan Midtown Manhattan mula berkuat kuasa, menjadikan New York City, bandar raya pertama di Amerika Syarikat (AS) melaksanakan pelan sedemikian, lapor Xinhua.

Kenderaan akan dikenakan tol memasuki zon pelepasan kesesakan dengan jumlah bayaran bergantung kepada jenis kenderaan, masa, sama ada terdapat kredit lintasan, serta kaedah pembayaran, dengan diskaun dan pengecualian diberikan kepada pemandu atau kenderaan tertentu, menurut Pihak Berkuasa Pengangkutan Metropolitan (MTA).

Kenderaan penumpang dan komersial kecil, lori, bas, dan motosikal yang memasuki zon pelepasan kesesakan akan dikenakan bayaran sekali sehari, manakala penumpang teksi dan kenderaan sewa akan dikenakan bayaran bagi setiap perjalanan ke, dari, dalam, atau melalui zon terbabit.

Tol itu dijangka diselaraskan pada 2028 dan 2031 apabila pengawal selia secara berperingkat menghapuskan 40% diskaun yang ditawarkan pada peringkat awal.

Pelan harga kesesakan ini dianggarkan dapat mengurangkan jumlah kenderaan memasuki zon pelepasan kesesakan sebanyak 10% dan jarak perjalanan kenderaan di zon itu sebanyak lima peratus.

MTA dijangka memperoleh hasil tambahan sebanyak USD1 bilion setahun bagi membiayai pelan perbelanjaan modal sehingga USD15 bilion.

Pelan berkenaan mencetuskan kontroversi dengan pelbagai tuntutan mahkamah difailkan di New York dan New Jersey, tetapi pihak lawan gagal menghalang pelaksanaannya.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.