
Langkah ini menjadikan Yoon presiden Korea Selatan pertama berdepan penahanan ketika masih berkuasa.
Waran itu dikeluarkan atas tuduhan Yoon merancang pengisytiharan undang-undang tentera yang gagal, mengatur pemberontakan dan menyalahgunakan kuasa, lapor agensi berita Yonhap memetik sumber.
Pejabat Siasatan Rasuah bagi Pegawai Berpangkat Tinggi (CIO) memfailkan permohonan itu selepas Yoon mengabaikan tiga kali panggilan untuk disoal siasat.
Waran itu memberi tempoh 48 jam kepada CIO untuk menahan Yoon bagi tujuan soal siasat dan seterusnya memfailkan permohonan waran tangkap.
Namun, pelaksanaan waran itu masih tidak jelas kerana Perkhidmatan Keselamatan Presiden menghalang penyiasat memasuki perkarangan pejabat presiden dan kediaman rasmi Yoon atas alasan keselamatan ketenteraan.
Walaupun Yoon menikmati kekebalan presiden daripada pendakwaan jenayah, keistimewaan itu tidak meliputi tuduhan pemberontakan atau pengkhianatan.
Pasukan pembelaan Yoon berhujah CIO tiada kuasa undang-undang untuk menyiasat kes pemberontakan, yang secara prinsipnya terletak di bawah bidang kuasa polis berdasarkan pindaan sistem ketika pentadbiran terdahulu.
Tetapi, Ketua CIO, Oh Dong-woon menegaskan penahanan atau waran tangkap dikeluarkan mahkamah tidak boleh dihalang secara sah, walaupun presiden.
Yoon digantung tugas selepas Dewan Negara yang dikuasai pembangkang meluluskan usul pemecatannya pada 14 Dis lalu atas pengisytiharan undang-undang tentera.
Mahkamah Perlembagaan sedang meneliti kes untuk menentukan sama ada Yoon akan dilucutkan jawatan secara rasmi atau kembali ke tampuk kepimpinan.
Mahkamah mempunyai tempoh 180 hari dari tarikh 14 Dis untuk membuat keputusan.