Trump minta Mahkamah Agung tangguh tarikh akhir larangan TikTok

Trump minta Mahkamah Agung tangguh tarikh akhir larangan TikTok

Menurut pasukan peguam Donald Trump, penangguhan penjualan TikTok bagi memberi peluang kepada presiden terpilih itu 'mencari penyelesaian politik'.

TikTok
Donald Trump sebelum ini mendakwa China boleh guna TikTok mengakses data pengguna AS atau memanipulasi kandungan di platform itu, dakwaan dinafikan ByteDance dan Beijing secara konsisten. (Gambar AP)
ISTANBUL:
Presiden terpilih Amerika Syarikat (AS), Donald Trump mengemukakan petisyen kepada Mahkamah Agung untuk menangguh penjualan TikTok oleh syarikat induk China, ByteDance atau berdepan larangan beroperasi di negara itu, lapor Agensi Anadolu memetik kenyataan pegawai.

“Memandangkan kes ini sesuatu yang baharu dan rumit, mahkamah harus mempertimbang menangguhkan tarikh akhir yang ditetapkan undang-undang bagi memberikan lebih ruang menangani isu ini,” menurut hujah pasukan guaman Trump dalam dokumen difailkan pada Jumaat.

Tarikh akhir pelucutan hak milik itu adalah 19 Jan depan, sehari sebelum majlis angkat sumpah Trump sebagai presiden AS. Langkah itu bagi memberi peluang kepada presiden terpilih “mencari penyelesaian politik”, menurut pasukannya.

Trump yang lantang mengkritik aplikasi media sosial popular itu semasa penggal pertamanya menyuarakan kebimbangan terhadap isu keselamatan negara.

Beliau mendakwa aplikasi itu boleh digunakan China untuk mengakses data pengguna AS atau memanipulasi kandungan di platform itu – dakwaan yang dinafikan ByteDance dan Beijing secara konsisten.

Pentadbirannya sebelum ini mendesak penjualan aplikasi itu kepada syarikat berpangkalan di AS, namun usaha berkenaan tidak berjaya.

Pendirian Trump dilihat berubah dalam beberapa bulan ini.

“Sekarang saya sedang memikirkannya, saya menyokong TikTok kerana anda memerlukan saingan. Jika anda tidak mempunyai TikTok, anda mempunyai Facebook dan Instagram – dan itu anda tahu adalah Zuckerberg,” katanya merujuk Mark Zuckerberg dalam temu bual dengan Bloomberg baru-baru ini.

Kenyataan itu mencerminkan perubahan pandangan Trump, yang kini menentang kecenderungan monopoli syarikat teknologi domestik seperti Meta, syarikat induk Facebook dan Instagram.

“Presiden Trump tidak mengambil sebarang pendirian terhadap merit pertikaian ini,” tulis peguamnya, John Sauer.

“Sebaliknya, beliau dengan hormatnya meminta mahkamah mempertimbangkan tangguh tarikh akhir undang-undang ini…sekali gus membolehkan pentadbiran baharunya mencari penyelesaian politik.”

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.