3 renjer cedera dalam insiden tembakan, letupan bom di Narathiwat

3 renjer cedera dalam insiden tembakan, letupan bom di Narathiwat

Kejadian tembakan itu melibatkan kira-kira 10 suspek kumpulan bersenjata dengan anggota renjer awal pagi tadi.

Menurut Ketua Polis Si Sakhon Pakkawat Wansanuk, tiga anggota renjer yang cedera kini dirawat di Hospital Narathiwat Rachanakharin dan dilaporkan stabil. (Gambar fail)
NARATHIWAT:
Tiga anggota renjer cedera dalam insiden berbalas tembakan dengan kumpulan bersenjata serta serangan bom buatan sendiri di Daerah Si Sakhon, di sini awal pagi tadi.

Ketua Polis Si Sakhon, Pakkawat Wansanuk, berkata pihak polis menerima laporan mengenai kejadian tembakan melibatkan kira-kira 10 suspek kumpulan bersenjata dengan anggota renjer pada 9.30 pagi waktu tempatan.

“Anggota polis yang tiba di lokasi kejadian mendapati tiga anggota renjer cedera dan beberapa kelongsong peluru M16 ditemukan di tempat kejadian,” katanya kepada pemberita pada Selasa.

Pakkawat menjelaskan bahawa siasatan polis menemukan lubang sedalam kira-kira dua meter yang dipercayai digunakan oleh kumpulan bersenjata itu untuk menanam bom buatan sendiri seberat 25 kilogram.

Katanya, polis percaya bom itu dipasang dalam tong gas dan diaktifkan menggunakan alat kawalan.

Menurutnya, semasa kejadian enam anggota renjer sedang menjalankan siasatan susulan aduan mengenai letupan bom di kawasan berkenaan.

“Tiga anggota renjer yang cedera kini dirawat di Hospital Narathiwat Rachanakharin dan keadaan mereka dilaporkan stabil,” katanya.

Pakkawat berkata pihak polis kini giat memburu individu atau kumpulan yang terlibat dalam serangan itu.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.