Rempuhan pasar Krismas, 2 maut termasuk budak

Rempuhan pasar Krismas, 2 maut termasuk budak

Angka maut diramal meningkat memandangkan beberapa mangsa lain parah.

rempuhan kereta
Dua maut, manakala 60 lain cedera dalam rempuhan kereta di pasar Krismas, di bandar Magdeburg, Jerman. (Gambar AP)
BERLIN:
Sekurang-kurangnya dua terbunuh, manakala 60 lagi cedera apabila sebuah kereta merempuh orang ramai di sebuah pasar Krismas di bandar Magdeburg, Jerman pada petang Jumaat, lapor Agensi Anadolu.

Perdana Menteri Saxony-Anhalt, Reiner Haseloff, mengesahkan mangsa maut termasuk seorang kanak-kanak.

Beliau turut memberi amaran bahawa jumlah korban mungkin meningkat memandangkan beberapa mangsa lain parah.

Menurut penyiar tempatan MDR, hampir 70 mangsa dimasukkan ke hospital, termasuk 15 berada dalam keadaan kritikal.

Insiden berlaku sekitar 7.04 malam waktu tempatan (6.04 petang GMT) di pasar Krismas popular yang terletak di pusat bandar Magdeburg.

Video yang tersebar di media sosial menunjukkan sebuah kereta berwarna gelap memecut ke arah orang ramai, menyebabkan kekecohan dan panik dalam kalangan pengunjung.

Haseloff mengesahkan pemandu kereta itu ditangkap sejurus selepas kejadian.

“Kami telah menahan suspek. Dia merupakan seorang doktor dari Arab Saudi yang bekerja di Saxony-Anhalt dan menetap di Jerman sejak 2006,” katanya kepada pemberita.

Walaupun motif serangan belum didedahkan, siasatan awal menunjukkan tiada suspek lain yang terlibat dalam insiden ini.

Pihak berkuasa Jerman masih belum mendedahkan butiran lanjut mengenai identiti suspek dan enggan memberikan sebarang komen sementara siasatan diteruskan.

Pasukan polis mengawal ketat kawasan pasar Krismas selepas serangan itu dan menutup lokasi kejadian untuk tujuan siasatan.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.