
Menurut pejabat gabenor, pengisytiharan itu dibuat susulan pengesanan kes dalam lembu tenusu di ladang California Selatan “menunjukkan keperluan meluaskan lagi pemantauan dan mengukuhkan pendekatan yang diselaraskan di seluruh negeri bagi membendung serta mengurangkan penularan virus”.
Setakat ini, tiada penularan selesema burung daripada manusia ke manusia dikesan di California dan hampir semua individu terbabit terdedah kepada lembu dijangkiti, menurut kenyataan pejabat gabenor.
Katanya, California telah mewujudkan sistem ujian dan pemantauan terbesar di negara itu bagi menangani wabak berkenaan.
Sehingga Rabu, virus H5N1 merebak ke lembu tenusu di 16 negeri, selepas julung kali disahkan di Texas dan Kansas pada Mac lalu, menurut data Pusat Kawalan dan Pencegahan Penyakit (CDC) Amerika Syarikat.
Terdapat 61 kes manusia dijangkiti H5N1 di seluruh negara sejak April lalu, dengan CDC pada Rabu mengesahkan seorang pesakit di Louisiana dimasukkan ke hospital akibat kes “teruk” penyakit itu.
Selesema burung pertama kali dikesan di AS pada burung liar di Carolina Selatan pada Januari 2022 dan di California pada Julai 2022.