Banteras jenayah terancang, Peru isytihar darurat 2 bulan

Banteras jenayah terancang, Peru isytihar darurat 2 bulan

Kerajaan isytihar darurat di wilayah pantai Callao susulan peningkatan jenayah kumpulan terancang libat kecurian, ancaman, dan pemerasan.

peru flag
Operasi keselamatan akan melibatkan polis dan angkatan tentera bagi mengembalikan ketenteraman di wilayah pantai Callao. (Gambar EPA Images)
ISTANBUL:
Peru mengisytiharkan darurat di enam daerah wilayah pantai Callao berikutan peningkatan keganasan kumpulan jenayah terancang, lapor Agensi Anadolu (AA).

Akhbar rasmi Peru, El Peruano, melaporkan langkah itu diambil susulan peningkatan kes kecurian, ancaman, pemerasan, dan pemerdagangan di wilayah terbabit, yang terletak kira-kira 10km ke barat ibu kota Lima.

Perintah darurat itu akan berkuat kuasa 60 hari.

Pihak berkuasa memaklumkan operasi keselamatan akan dijalankan untuk menghapuskan kegiatan kumpulan penjenayah serta mengembalikan ketenteraman dengan sokongan Polis Kebangsaan Peru dan angkatan tentera.

Menteri Dalam Negeri Juan Jose Santivanez mengumumkan keputusan itu selepas bermesyuarat dengan pelbagai wakil sektor.

Dekri perintah darurat itu ditandatangani Presiden Dina Boluarte, Perdana Menteri Gustavo Adrianzen, serta menteri pertahanan, dalam negeri, dan kehakiman.

Dalam beberapa minggu kebelakangan ini, kesatuan sekerja di Lima telah mengadakan protes membantah keganasan di beberapa bahagian negara itu dan menggesa kerajaan mempertingkatkan langkah keselamatan bagi melindungi orang awam.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.