Dewan kebangsaan Korea Selatan lulus usul pendakwaan terhadap ketua audit, pendakwa raya

Dewan kebangsaan Korea Selatan lulus usul pendakwaan terhadap ketua audit, pendakwa raya

Ia berhubung peranan mereka dalam siasatan berkaitan pemindahan pejabat presiden dan wanita pertama Kim Keon Hee.

Usul pendakwaan itu pada asalnya dijadualkan untuk diundi pada Rabu, tetapi ditangguhkan susulan pengisytiharan undang-undang tentera oleh Presiden Yoon Suk Yeol. (Gambar AP)
SEOUL:
Dewan Kebangsaan Korea Selatan yang dikuasai pembangkang pada Khamis meluluskan usul pendakwaan terhadap ketua audit negara dan tiga pendakwa raya tertinggi negara itu berhubung peranan mereka dalam siasatan berkaitan pemindahan pejabat presiden dan wanita pertama Kim Keon Hee, lapor agensi berita Yonhap.

Usul pendakwaan itu dikenakan terhadap Pengerusi Lembaga Audit dan Pemeriksaan (BAI), Choe Jae-hae; ketua Pejabat Pendakwa Raya Daerah Tengah Seoul, Lee Chang-soo serta dua pendakwa raya di bawah Lee iaitu Cho Sang-won dan Choi Jae-hun.

Dengan kelulusan usul berkenaan, kesemua empat individu akan digantung tugas sehingga Mahkamah Perlembagaan memutuskan sama ada mengesahkan pendakwaan itu. Ini adalah kali pertama seorang Pengerusi BAI didakwa oleh Parlimen.

Usul itu diluluskan dengan undian 188-4 terhadap Choe, 185-3 terhadap Lee, 187-4 terhadap Cho dan 186-4 terhadap Choi, manakala ahli parlimen daripada parti pemerintah, Parti Kuasa Rakyat (PPP), memboikot undian itu.

Choe dituduh oleh pihak pembangkang kerana melakukan semakan lemah terhadap dakwaan penyelewengan berkaitan pemindahan pejabat presiden pada 2022, yang dibuat selaras dengan janji kempen Presiden Yoon Suk Yeol.

Sementara itu, ketiga-tiga pendakwa raya itu dituduh gagal mendakwa isteri presiden selepas siasatan terhadap dakwaan pembabitannya dalam skim manipulasi harga saham.

Usul pendakwaan itu pada asalnya dijadualkan untuk diundi pada Rabu, tetapi prosiding itu ditangguhkan susulan pengisytiharan undang-undang tentera oleh Yoon yang berkuat kuasa untuk tempoh singkat.

Parti pembangkang utama, Parti Demokratik, pada mulanya merancang untuk menangguhkan usul pendakwaan terhadap ketua audit negara dan pendakwa raya bagi memberi tumpuan kepada usul pendakwaan terhadap Yoon atas pengisytiharan undang-undang tenteranya.

Namun mereka mengubah pendirian pada Khamis selepas PPP mengisytiharkan pendirian rasmi menentang pendakwaan terhadap Yoon.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.