Jepun catat musim luruh terpanas dalam 126 tahun

Jepun catat musim luruh terpanas dalam 126 tahun

Purata suhu musim luruh di seluruh Jepun dicatatkan 1.97 darjah Celsius melebihi paras normal, memecah rekod tahun lepas.

japan autumn
Cuaca panas luar biasa di Jepun pada musim luruh tahun ini dikaitkan dengan kesan pemanasan global dan peralihan aliran udara ke arah utara. (Gambar AP)
TOKYO:
Purata suhu di seluruh Jepun dari September hingga November tahun ini mencatatkan rekod tertinggi sejak data mula dikumpul pada 1898, menurut Agensi Meteorologi Jepun pada Isnin, lapor Xinhua.

Purata suhu musim luruh di seluruh Jepun ialah 1.97 darjah Celsius melebihi paras normal, memecahkan rekod dicatatkan tahun lepas dengan margin ketara sebanyak 0.58 darjah, menurut data itu.

Agensi tersebut mengaitkan cuaca panas luar biasa ini dengan kesan pemanasan global dan peralihan aliran udara ke arah utara, yang membolehkan udara panas dari selatan mendominasi.

Peningkatan suhu yang ketara termasuk di Bandar Raya Saga yang mencatat 22.2 darjah Celsius (3.2 darjah melebihi purata), Nagoya 21.5 darjah Celsius (2.9 darjah melebihi purata), dan di tengah Tokyo yang mencatatkan 20.3 darjah Celsius (2.4 darjah melebihi purata).

Walaupun suhu untuk musim sejuk akan datang dijangka sejajar dengan purata setiap musim, salji lebat dijangka melanda bahagian pantai Laut Jepun, termasuk kawasan yang terjejas akibat gempa bumi di Semenanjung Noto.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.