2 maut banjir landa selatan Thailand

2 maut banjir landa selatan Thailand

Mayat seorang wanita 42 tahun ditemui di kawasan sawah dekat rumahnya, manakala mayat seorang lelaki 26 tahun ditemui dalam rumahnya.

Thailand Flood
Sebanyak 13 daerah di Narathiwat dilanda banjir, dengan paras air di tiga sungai utama, iaitu Sungai Golok, Sungai Saiburi dan Sungai Bannara melimpahi tebing sehingga 1m. (Gambar AP)
PATTANI:
Banjir di selatan Thailand menyebabkan dua maut pada Khamis selepas rumah mangsa dinaiki air sejak semalam, manakala ribuan lagi penduduk terpaksa dipindahkan.

Gabenor Wilayah Pattani, Pateemoh Sadeeyamu, berkata mayat seorang wanita 42 tahun yang mempunyai masalah ingatan ditemui di kawasan sawah dekat rumahnya, manakala mayat seorang lelaki 26 tahun pula ditemui dalam rumahnya.

Beliau berkata, 12 daerah di Pattani ditenggelami air akibat limpahan Sungai Pattani dan Saiburi, dengan paras air mencecah 2m dan lebih 20,000 keluarga terjejas perlu dipindahkan ke lokasi lebih selamat.

Gabenor Wilayah Narathiwat, Trakul Totham, berkata 13 daerah di wilayah itu terjejas akibat banjir menyebabkan banyak aktiviti perniagaan dihentikan.

“Saya dimaklumkan 154,535 orang daripada 42,285 keluarga terjejas selepas paras air di tiga sungai utama, iaitu Sungai Golok, Sungai Saiburi dan Sungai Bannara melimpahi tebing sehingga 1m.

“Situasi ini menyebabkan 13 daerah, 76 mukim dan 540 kampung ditenggelami air,” katanya.

Di Bangkok, Ketua Polis Diraja Thailand, Kittharath Punpetch mengarahkan polis wilayah 8 dan 9 di selatan Thailand memberi bantuan kepada penduduk terjejas sehingga keadaan kembali pulih.

Menurutnya, polis sedang memantau keadaan banjir bagi memastikan bantuan dapat dihulurkan segera kepada mangsa terjejas.

“Langkah-langkah ini termasuk memastikan keselamatan nyawa dan harta benda, melancarkan aliran trafik di kawasan banjir serta menangani keperluan pegawai dan fasiliti polis turut terkesan,” katanya dalam kenyataan.

Beliau berkata, semua anggota polis di kawasan terjejas diarahkan memantau keadaan, menasihati orang ramai mengenai laluan alternatif serta membuat rondaan bagi melindungi nyawa dan harta benda.

“Langkah-langkah turut diambil untuk mencegah sebarang aktiviti jenayah yang mungkin menyasarkan mangsa banjir.”

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.