
NEW DELHI: Sekurang-kurangnya seorang maut dan 20 lagi jatuh sakit selepas dipercayai terhidu gas beracun di sebuah kilang farmasi di negeri Andhra Pradesh, selatan India, menurut pegawai pada Rabu.
Kejadian itu berlaku di Anakapalli, Visakhapatnam, bandar terbesar di Andhra Pradesh.
Menurut pegawai, pekerja kilang itu mengalami masalah pernafasan selepas terhidu campuran asid hidroklorik dan klorofom yang disyaki tertumpah atas lantai.
Media tempatan melaporkan pengurusan syarikat itu tidak memberi amaran kepada pekerjanya terbabit kerja pembersihan mengenai bahaya terhidu gas beracun.
Polis membuka kertas siasatan dan mengarahkan siasatan lanjut kes itu.