Kawasan padat terbakar, 10,000 penduduk hilang tempat tinggal di Filipina

Kawasan padat terbakar, 10,000 penduduk hilang tempat tinggal di Filipina

Tentera laut dan tentera udara mengerah dua pesawat dan empat bot membantu mengawal kebakaran dengan api dipadamkan selepas lapan jam.

Kawasan perumahan Isla Puting Bato di daerah Tondo, Manila, terbakar dengan kebakaran merebak cepat kerana kediaman terletak berdekatan. (Gambar AP)
MANILA:
Ribuan hilang tempat tinggal selepas kebakaran besar melanda sebuah kawasan miskin di ibu negara Filipina pada Ahad, kata pegawai, lapor agensi berita Jerman (dpa).

Setakat ini, tiada kematian dilaporkan, namun beberapa anggota bomba dilaporkan cedera.

Kebakaran bermula di kawasan perumahan Isla Puting Bato di daerah Tondo, Manila, menurut Alejandro Ramos dari Jabatan Bomba Manila.

Kebanyakan rumah di kawasan itu dibina daripada bahan ringan yang mudah terbakar dan kebakaran dengan cepat merebak ke seluruh kawasan berkenaan, yang terletak berhampiran terminal kontena di kawasan pelabuhan Manila, kata Ramos.

Sekurang-kurangnya 2,000 keluarga atau 10,000 orang dilaporkan kehilangan tempat tinggal.

“Jalan-jalan di kawasan itu sangat sempit dan dinding (terminal kontena berdekatan) sangat tinggi,” kata Ramos.

“Anggota bomba terpaksa menggunakan tangga dan mencari jalan untuk memecahkan bahagian dinding untuk sampai ke kawasan komuniti.”

Tentera laut dan tentera udara mengerahkan dua pesawat dan empat bot untuk membantu mengawal kebakaran, yang akhirnya berjaya dipadamkan selepas lapan jam.

Datuk Bandar Manila Honey Lacuna, berjanji membantu penduduk terjejas akibat kebakaran besar itu.

“Kami akan memastikan mangsa menerima bantuan tunai, makanan, dan bahan untuk membina semula rumah mereka,” katanya dalam kenyataan.

“Kami akan menimbangkan pilihan untuk memindahkan penduduk yang terjejas kerana Isla Puting Bato bukan lagi tempat yang selamat untuk mereka.”

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.