
Perkhidmatan kecemasan di negeri Baden-Württemberg, barat daya Jerman digerakkan susulan lebih 380 insiden berkaitan cuaca dalam tempoh 18 jam, kata polis pada Jumaat.
Jurucakap polis berkata, sekurang-kurangnya 30 orang cedera, kebanyakannya cedera ringan dan kerosakan melebihi €1 juta (USD1.04 juta).
Kawasan paling teruk terjejas ialah bandar Freiburg dan Constance, yang mana polis dipanggil menangani 135 serta 140 operasi berkaitan cuaca antara petang Khamis hingga pagi Jumaat.
Di wilayah Perancis bersempadanan Jerman, sekitar 1,750 lori terkandas di lebuh raya, dengan wilayah utara Burgundy dan Normandy paling terjejas, kata Menteri Pengangkutan, François Durovray kepada stesen penyiar BFMTV.
Ratusan kenderaan berat terkandas di laluan sukar selepas pemandu dikatakan tidak mengendahkan larangan berkaitan cuaca. Ramai pemandu terpaksa bermalam dalam kenderaan mereka.
Perkhidmatan kereta api juga terganggu di Perancis, manakala 200,000 isi rumah terputus bekalan elektrik akibat cuaca, menurut syarikat utiliti Enedis.
Di Paris, Menara Eiffel ditutup sementara kepada pengunjung selepas dilitupi salji.