
NEW DELHI: Dua dilaporkan hilang selepas sebuah kapal selam tentera laut India bertembung dengan sebuah bot nelayan pada malam Khamis.
Seramai 11 daripada 13 kru bot nelayan itu berjaya diselamatkan kapal lain selepas insiden yang berlaku 70 batu nautika dari pantai Goa, menurut laporan media tempatan pada Jumaat yang memetik kenyataan pegawai tentera laut.
Enam kapal tentera laut dan beberapa pesawat pemantau dikerahkan dalam usaha menyelamatkan dua nelayan yang masih hilang.
Kapal selam tentera laut yang terlibat dalam pelanggaran ialah kapal selam kelas Scorpene, yang dilengkapi ciri siluman canggih serta membawa torpedo jarak jauh dan peluru berpandu antikapal.