Letupan bungkusan di Eropah sebahagian plot sasar penerbangan AS, kata pegawai

Letupan bungkusan di Eropah sebahagian plot sasar penerbangan AS, kata pegawai

Pegawai keselamatan menuding jari ke arah perisik Rusia susulan beberapa siri tindakan sabotaj menyasarkan sekutu Ukraine.

DHL
Wall Street Journal melaporkan peranti yang dinyalakan di depot DHL di Birmingham dan Leipzig sebahagian daripada plot Rusia menyasarkan penerbangan Amerika Utara. (Gambar DHL)
WASHINGTON:
Bungkusan yang meletup di depot logistik Eropah sebahagian daripada ujian untuk plot Rusia melancarkan letupan dalam penerbangan kargo ke Amerika Syarikat (AS), kata pegawai keselamatan.

Kerajaan Barat dan agensi perisikan di Eropah sebelum ini menuding jari ke arah Moscow sebagai sumber beberapa siri kebakaran serta tindakan sabotaj di Eropah untuk menjejaskan kestabilan sekutu Ukraine.

Tetapi, letupan di depot kurier Britain, Jerman dan Poland Julai lalu yang didakwa penasihat presiden Lithuania didalangi Rusia, berpotensi menyebabkan letupan dalam pesawat.

“Saya boleh katakan ini sebahagian operasi kinetik tidak konvensional terhadap negara Nato yang dilakukan perisik tentera Rusia,” Kestutis Budrys, penasihat keselamatan kepada Presiden Lithuania, Gitanas Nauseda memberitahu Reuters pada Selasa.

“Kami perhatikan operasi ini sedang diperhebatkan: tumpuan mereka untuk memudaratkan infrastruktur dan tindakan yang boleh menyebabkan kematian.”

Kerajaan Rusia tidak segera menjawab permintaan untuk mengulas.

Wall Street Journal pada Isnin memetik pegawai keselamatan Barat sebagai berkata, peranti yang dinyalakan di depot DHL di Birmingham, tengah England dan Leipzig, sebahagian daripada operasi Rusia untuk mencetuskan kebakaran pada penerbangan kargo atau penumpang ke Amerika Utara.

Pentadbiran Keselamatan Pengangkutan AS berkata, ia “bekerjasama dengan rakan industri untuk melaksanakan langkah keselamatan tambahan bagi pengendali pesawat AS dan syarikat penerbangan asing berhubung penghantaran kargo tertentu ke AS” sejak beberapa bulan lalu.

Siasatan bungkusan meletup

Bulan lalu, kerajaan Poland dilaporkan berkata, ia menahan empat individu dalam siasatan ke atas letupan bungkusan dihantar melalui kurier ke negara Kesatuan Eropah dan Britain sebagai sebahagian plot yang akhirnya akan menghantar pakej sedemikian ke AS serta Kanada.

Kerajaan Kanada pada Selasa berkata, ia memberitahu Rusia “sebarang ancaman terhadap keselamatan warganya tidak boleh diterima”, tetapi “tiada ancaman ke atas rakyatnya ketika ini”.

Warsaw menyalahkan perkhidmatan perisikan asing tanpa menamakan Rusia secara khusus.

Akhbar Poland, Gazeta Wyborcza bulan lalu melaporkan satu bungkusan menyebabkan sebuah trak terbakar di tapak milik firma kurier dekat Warsaw dan bungkusan yang meletup di Poland, Jerman dan Britain dihantar dari Lithuania.

Pendakwa Raya Lithuania, Nida Grunskiene memberitahu pemberita, Vilnius sedang menyiasat bungkusan itu dan tangkapan dibuat di “Lithuania serta tempat lain”.

“Siasatan giat dijalankan dengan kerjasama institusi di negara lain. Ketika ini, kami sudah melakukan tangkapan, tetapi saya tidak akan menyatakan jumlahnya untuk mengelakkan siasatan terjejas.”

FBI enggan mengulas. Pejabat Dalam Negeri Britain yang bertanggungjawab untuk keselamatan domestik juga enggan komen.

Bulan lalu, Ketua Pengarah Perkhidmatan Keselamatan Britain (MI5), Ken McCallum dilaporkan berkata, perkhidmatan perisikan tentera GRU Rusia cuba menimbulkan “kekacauan” di seluruh Britain dan Eropah.

Poland pada Oktober berkata, ia akan menutup konsulat Rusia di bandar Poznan kerana disyaki terdapat cubaan sabotaj oleh Moscow.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.