Hampir 30 ancaman bom palsu sasar lokasi pilihan raya AS

Hampir 30 ancaman bom palsu sasar lokasi pilihan raya AS

Menurut sumber, ancaman palsu itu sedang dikesan di Georgia, Arizona, Michigan dan Wisconsin.

Pengundi membuang undi di Pusat Sivik Butte di Butte, Montana pada Selasa. (Gambar AP)
WASHINGTON:
Hampir 30 ancaman bom palsu menyasarkan lokasi berkaitan pilihan raya di seluruh Amerika Syarikat, lapor Agensi Anadolu memetik sumber laporan pada Selasa.

CBS News memetik dua sumber berkata, kira-kira 17 ancaman bom palsu disasarkan di Georgia.

Pegawai kini berusaha mengesan punca ancaman palsu, yang dipercayai sebahagian usaha asing untuk mengganggu proses pilihan raya.

Menurut sumber, ancaman palsu ini sedang dikesan di Georgia, Arizona, Michigan dan Wisconsin.

Berita ini muncul beberapa jam selepas Biro Penyiasatan Persekutuan (FBI) mengumumkan mereka “sedar” ancaman bom disasarkan ke lokasi pengundian di beberapa negeri.

“Setakat ini, tiada satu pun daripada ancaman itu dianggap sahih,” menurut kenyataan itu.

Sebelum ini, Setiausaha Negara Georgia, Brad Raffensperger berkata ancaman bom palsu dibuat terhadap dua lokasi pengundian di Fulton County.

Menurut laporan media, ancaman yang menyasarkan lima pusat pengundian itu menyebabkan dua lokasi pengundian terpaksa dikosongkan buat sementara pada awal Selasa.

Jutaan rakyat Amerika keluar mengundi pada Selasa untuk memilih presiden ke-47, dengan bekas presiden, Donald Trump menentang pencabar dari Demokrat yang juga Naib Presiden, Kamala Harris.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.