UK mula projek perintis minggu kerja 4 hari dengan 1,000 pekerja

UK mula projek perintis minggu kerja 4 hari dengan 1,000 pekerja

Hasil percubaan enam bulan ini dijadual dibentangkan kepada kerajaan Parti Buruh pada musim panas depan.

Sebanyak 17 syarikat, termasuk British Society for Immunology dan Crate Brewery akan menguji jadual kerja lebih pendek, manakala beberapa syarikat memilih model kerja sembilan hari dalam dua minggu. (Gambar Envanto Elements)
ISTANBUL:
United Kingdom (UK) melancarkan percubaan pertama minggu kerja empat hari yang disokong kerajaan membabitkan lebih 1,000 pekerja dengan hari bekerja dikurangkan tanpa pemotongan gaji.

Sebanyak 17 syarikat, termasuk British Society for Immunology dan Crate Brewery akan menguji jadual kerja lebih pendek, dengan beberapa syarikat memilih model kerja sembilan hari dalam dua minggu, lapor Agensi Anadolu memetik The Guardian.

Empat lagi syarikat dijangka menyertai projek perintis itu tidak lama lagi.

Hasil percubaan enam bulan ini dijadual dibentangkan kepada kerajaan Parti Buruh pada musim panas depan.

Hampir 200 syarikat di UK mengguna pakai jadual ini secara kekal sejak kempen berkenaan dilancarkan pada 2022.

Pemimpin Parti Buruh, termasuk Timbalan Perdana Menteri, Angela Rayner menyuarakan sokongan terhadap konsep itu. Tetapi, parti itu belum menyokong dasar berkenaan secara rasmi.

Joe Ryle, pengarah Kempen Minggu Kerja 4 Hari, menekankan kepentingan percubaan ini dengan berkata: “Kita tidak perlu lagi membayangkan minggu kerja empat hari kerana ia sudah menjadi realiti bagi ratusan syarikat dan puluhan ribu pekerja di UK.”

Dapatan daripada kempen ini dijangka memberi kesan kepada kajian semula amalan kerja yang sedang dijalankan kerajaan Parti Buruh, yang berpotensi mempengaruhi keputusan dasar pada masa depan.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.