
TEHRAN: Kumpulan Palestin, Hamas menafikan laporan akhbar Asharq al-Awsat berpangkalan di London yang mendakwa ketua sayap tenteranya, Mohammed Deif terbunuh, lapor Agensi Berita Republik Islam.
Hamas dalam kenyataan pada Sabtu memaklumkan laporan itu tidak benar dan menggesa semua media menyiarkan laporan tepat serta profesional.
Terdahulu, Asharq al-Awsat memetik sumber Hamas mendakwa kumpulan itu mengesahkan Deif terbunuh dalam serangan udara Israel di Gaza pada pertengahan Julai lalu.
Deif ialah pemimpin sayap ketenteraan Hamas, Briged Izz al-Din al-Qassam.
Rejim Zionis pada 1 Ogos lalu mendakwa Deif terbunuh dalam serangan udara di bandar Khan Younis, selatan Semenanjung Gaza, dua minggu sebelumnya.
Serangan itu percubaan kelapan Israel untuk membunuh Deif.