Boeing tawar kenaikan gaji 38% kepada pekerja mogok

Boeing tawar kenaikan gaji 38% kepada pekerja mogok

Mogok oleh pekerja Boeing melumpuhkan pengeluaran model 737 paling laris dan pesawat jarak jauh 777.

Pekerja Boeing mengadakan mogok sejak 13 Sept lalu. (Gambar AP)
SAN JOSE:
Pengeluar pesawat Amerika Syarikat, Boeing mengemukakan tawaran baharu lebih baik kepada ribuan pekerjanya, termasuk kenaikan gaji sebanyak 38% dalam empat tahun, lapor Agensi Berita Jerman (dpa).

Kesatuan sekerja – Association of Machinists and Aerospace Workers pada Khamis memaklumkan 33,000 ahlinya di Boeing akan diminta mengundi tawaran itu Isnin depan.

Tawaran itu susulan mogok selama tujuh minggu sejak 13 Sept lalu.

Minggu lalu, 94% pekerjanya menolak tawaran kenaikan gaji 35% selama empat tahun.

Pada pertengahan September lalu, mereka menolak tawaran pertama Boeing, termasuk kenaikan gaji 25%, dengan majoriti hampir 95%.

Cadangan terbaru ini juga merangkumi bayaran sekali sebanyak USD12,000. Kesatuan berunding untuk mengekalkan bayaran bonus yang pada asalnya ingin dihapuskan sebagai sebahagian tawaran kedua.

Mogok itu melumpuhkan pengeluaran model 737 paling laris dan pesawat jarak jauh 777.

Syarikat itu kini berdepan pelbagai isu dengan pesawatnya dan masalah kewangan besar. Pertikaian buruh ini menambahkan lagi tekanan kepada Boeing.

Pekerja Boeing melalui beberapa siri pembekuan gaji sepanjang dekad lalu dan kini menuntut kenaikan gaji ketara.

Boeing, yang mempunyai sekitar 170,000 pekerja baru-baru ini mengumumkan rancangan mengurangkan 10% pekerjanya.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.