Kemiskinan tegar global meningkat kali pertama dalam 20 tahun, lapor PBB

Kemiskinan tegar global meningkat kali pertama dalam 20 tahun, lapor PBB

Peningkatan dilaporkan berikutan kejutan berturut-turut, bermula dengan wabak Covid-19, menyebabkan kemunduran pembangunan sosial.

Walaupun ekonomi makro sedang pulih, kemiskinan tegar kekal tinggi di negara yang berada dalam situasi khusus, menunjukkan kerentanan struktur yang mendalam, menurut PBB. (Gambar AP)
NEW YORK:
Dunia menyaksikan peningkatan kemiskinan tegar buat pertama kali dalam tempoh 20 tahun dan ketidaksamaan meningkat dengan ketara serta kekal tinggi, menurut laporan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) pada Khamis.

PBB melaporkan peningkatan ini berikutan kejutan berturut-turut, bermula dengan wabak Covid-19, menyebabkan kemunduran dalam langkah utama kemajuan pembangunan sosial.

Walaupun ekonomi makro sedang pulih, kemiskinan tegar kekal tinggi di negara yang berada dalam situasi khusus, menunjukkan kerentanan struktur yang mendalam.

Menjelang 2022, kemiskinan tegar kembali ke tahap prawabak di kebanyakan negara, kecuali negara berpendapatan rendah, menurut Laporan Sosial Dunia 2024 bertajuk ‘Pembangunan Sosial pada Masa Krisis Menumpu: Seruan untuk Tindakan Global’ yang dilancarkan Jabatan Hal Ehwal Ekonomi dan Sosial PBB.

Kadar pengangguran di negara berpendapatan rendah kekal tinggi, dengan kadar jurang pekerjaan meningkat daripada 20% pada 2018 kepada 21% pada 2023. Trend ini memburukkan lagi ketidaksamaan pendapatan dan kekayaan sedia ada di seluruh dunia, menurut laporan itu, dipetik Xinhua.

Pada 2022, separuh penduduk termiskin dunia hanya memiliki 2% daripada kekayaan dunia, manakala 10% golongan terkaya memegang 76%.

Menurut laporan itu, krisis yang dihadapi dunia boleh menyebabkan kehilangan keluaran ekonomi terkumpul melebihi USD50 trilion antara 2020 dan 2030, mencerminkan peluang yang hilang untuk melabur dalam pembangunan sosial.

Dengan negara secara beransur-ansur keluar daripada pelbagai krisis, terdapat peluang meminimumkan kesan jangka panjang krisis ini terhadap pembangunan sosial dan membina masyarakat yang lebih berdaya tahan, menurut laporan itu.

Menurut laporan itu, dalam persekitaran dasar global semasa, kejutan lebih mudah bertukar menjadi krisis yang merentasi sempadan, menuntut tindakan antarabangsa.

Laporan itu menggesa tindakan global segera untuk menyokong usaha nasional menangani kemunduran yang disebabkan oleh krisis global kebelakangan ini, dan untuk mengelakkan kejutan masa depan bertukar menjadi krisis.

Laporan itu menekankan keperluan kritikal untuk pembaharuan dan pemfokusan semula pembangunan kewangan antarabangsa untuk menyokong tindak balas peringkat negara terhadap krisis global dan mewujudkan ruang fiskal yang diperlukan untuk memacu kemajuan sosial.

Ia juga mengkaji langkah-langkah meringankan beban hutang negara membangun dan mengkaji bagaimana bantuan pembangunan rasmi, dalam bentuk geran dan pinjaman konsesi, pelepasan hutang yang bermakna dalam jangka pendek dan pengukuhan seni bina hutang berdaulat dalam jangka panjang, boleh memajukan pembangunan sosial.

“Laporan ini mendedahkan peranan penting tindakan pelbagai hala dalam menyokong usaha di peringkat kebangsaan untuk mencari ruang fiskal untuk memerangi kemiskinan, mewujudkan pekerjaan dan memastikan setiap orang mempunyai peluang yang adil dalam hidup,” kata Timbalan Setiausaha Agung PBB bagi Hal Ehwal Ekonomi dan Sosial Li Junhua.

Laporan Sosial Dunia ialah penerbitan utama Jabatan Hal Ehwal Ekonomi dan Sosial PBB mengenai isu utama pembangunan sosial, mengenal pasti trend sosial semasa dan baru muncul serta menyediakan analisis mengenai isu pembangunan utama di peringkat kebangsaan dan antarabangsa.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.