Wabak Mpox landa 15 negara Afrika

Wabak Mpox landa 15 negara Afrika

15 negara di Afrika mempunyai penularan aktif Mpox, yang ditakrifkan sebagai kes yang dilaporkan dalam tempoh enam minggu lalu.

WHO beri amaran mengenai pelbagai ‘clade’ virus penyakit Mpox yang menambah ‘lapisan kerumitan’. (Gambar EPA Images)
KINSHASA:
Sebanyak 15 negara di rantau Afrika terjejas oleh wabak Mpox sejak 2024, menurut Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO), lapor Xinhua.

WHO turut memberi amaran mengenai pelbagai ‘clade’ yang menambah “lapisan kerumitan”, diagnosis lewat, dan akses yang terhad kepada rawatan.

Menurut laporan terbaru WHO mengenai wabak Mpox di Afrika, 15 negara itu mempunyai penularan aktif Mpox, yang ditakrifkan sebagai kes yang dilaporkan dalam tempoh enam minggu lalu.

Ghana menjadi negara terbaru terjejas oleh wabak Mpox seperti yang dilaporkan pada awal Oktober.

Setakat 29 Sept 2024, wilayah Afrika merekodkan 37,325 kes disyaki, termasuk 996 kematian dan 6,602 kes disahkan, manakala sebahagian besar kes dikenal pasti di Republik Demokratik Congo (DRC).

Menurut WHO, DRC yang melaporkan 30,766 kes disyaki berdepan kadar kematian yang lebih tinggi disebabkan diagnosis lewat dan akses yang terhad kepada rawatan di beberapa zon kesihatan. Hanya 39% kes disyaki diuji pada 2024, manakala kadar positif dalam kalangan kes yang diuji adalah sekitar 55%.

Agensi kesihatan itu menyatakan bahawa sebilangan besar kes yang disyaki Mpox masih belum diuji dan “oleh itu tidak pernah disahkan” disebabkan oleh kapasiti diagnostik yang terhad.

WHO berkata rantau Afrika sedang menghadapi pelbagai ‘clade’ virus itu yang lebih merumitkan usaha tindak balas.

“Clade Ia” sedang menular di Republik Afrika Tengah manakala “Clade Ib” dikesan di Uganda, Rwanda dan Burundi manakala “Clade IIb” dilaporkan di Nigeria dan Afrika Selatan yang menambah “lapisan kerumitan” dalam menguruskan wabak di negara-negara terjejas, menurut laporan itu.

WHO menekankan keperluan segera untuk meningkatkan kapasiti makmal, memperkukuh sistem pemantauan, dan memperbaiki penyelarasan rentas sempadan, serta menggesa negara-negara anggota untuk memberi tumpuan kepada pengesanan awal, melaksanakan kempen vaksinasi yang disasarkan, dan meningkatkan intervensi kesihatan awam, terutamanya di kawasan yang mengalami peningkatan kes.

Pada pertengahan Ogos, Pusat Kawalan dan Pencegahan Penyakit Afrika (Africa CDC) mengisytiharkan wabak Mpox sebagai kecemasan kesihatan awam bagi keselamatan benua. Tidak lama selepas itu, WHO juga mengisytiharkan Mpox sebagai kecemasan kesihatan awam yang membimbangkan antarabangsa, mengaktifkan tahap amaran global tertinggi untuk Mpox buat kali kedua dalam dua tahun.

Buletin terbaru WHO tidak memasukkan Zambia yang mengumumkan pada Khamis bahawa ia mengesan kes pertama Mpox di negara itu dalam kalangan warga Tanzania yang melawat Bandar Chitambo.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.