
TOKYO: Seorang wanita meninggal dunia pada Rabu selepas ditemui berhampiran sungai di Wilayah Ishikawa, Jepun menjadikan jumlah korban akibat hujan lebat luar biasa meningkat kepada sembilan orang, lapor Xinhua memetik media tempatan.
Polis masih meneruskan operasi mencari dua lagi mangsa hilang dan setakat 10 pagi Rabu waktu tempatan, enam lagi individu tidak dapat dikesan, menurut penyiar awam NHK.
Hujan lebat luar biasa melanda Ishikawa dari 21 hingga 22 Sept lalu.
Banjir besar dan tanah runtuh menyebabkan kerosakan teruk selepas hujan lebat, dengan pihak berkuasa menggesa penduduk terus berwaspada.
Sehingga petang Selasa, 46 lokasi di bandar Wajima, Suzu dan Noto masih terputus hubungan, manakala 5,216 isi rumah mengalami gangguan bekalan air akibat bekalan elektrik terputus dan kerosakan paip air, menurut laporan itu.