Media Jerman gesa diberi akses masuk Gaza

Media Jerman gesa diberi akses masuk Gaza

Saluran media berkata ketiadaan akses ke Semenanjung Gaza mewujudkan keadaan yang membolehkan pelanggaran hak asasi manusia.

Der_Spiegel
Pengarang dan wartawan Der Speigel berkata mereka sanggup mengambil risiko di Gaza selepas pengalaman berdekad-dekad melaporkan konflik. (Gambar EPA Images)
BERLIN:
Saluran berita Jerman hari ini menggesa Israel membenarkan mereka akses memasuki Gaza yang dilanda perang, dan menyifatkan hakikat hampir tiada langsung media antarabangsa sebagai sesuatu yang tidak pernah berlaku dalam sejarah moden.

“Selepas hampir setahun perang, kami menggesa kerajaan Israel: Benarkan kami memasuki Semenanjung Gaza,” kata sekumpulan syarikat akhbar, agensi dan badan penyiar dalam satu surat terbuka.

Mereka turut menggesa Mesir membenarkan mereka masuk ke wilayah Palestin itu menerusi sempadan Rafah di selatan Semenanjung Gaza.

Israel melancarkan perang terhadap Hamas sejak 7 Oktober tahun lalu, dalam konflik yang mengakibatkan jumlah kematian dan kemusnahan yang terlalu tinggi.

Menurut gabungan organisasi media itu: “Sesiapa yang menyukarkan laporan bebas terhadap perang ini hanya merosakkan kredibiliti sendiri.

“Sesiapa yang menghalang kami bertugas di Semenanjung Gaza mewujudkan keadaan untuk pelanggaran hak asasi manusia.”

Mereka berkata, surat terbuka itu yang ditujukan kepada Perdana Menteri Israel Benjamin Netanyahu dan Presiden Mesir Abdel Fattah al-Sisi, dihantar pada Isnin.

Antara yang menandatangani surat itu termasuk pengarang dan wartawan Der Spiegel, Die Welt, badan penyiaran awam ARD dan ZDF, dan Persatuan Wartawan Jerman.

Mereka menegaskan mempunyai pengalaman selama berdekad-dekad dalam melaporkan konflik.

“Kami tahu risikonya. Kami bersedia mengambil risiko ini. Berikan kami akses ke Semenanjung Gaza. Benarkan kami bertugas, demi kepentingan semua.”

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.