
Wabak itu dilaporkan di beberapa kampung di daerah Kachchh, kira-kira 380km ke barat Gandhinagar, ibu kota Gujarat.
Doktor belum dapat mendiagnosis penyakit itu dengan tepat. Pegawai kesihatan berkata, kes demam misteri mula dilaporkan sebaik saja kawasan itu dilanda banjir selepas hujan lebat.
“Setakat ini, 16 kematian dilaporkan di tujuh kampung di Lakhpat dan Abdasa, Kachchh, selepas wabak demam. Jabatan kesihatan seluruh negeri sedang bertindak mengenal pasti punca penyakit ini,” kata Menteri Kesihatan tempatan, Rushikesh Patel.
Penduduk tempatan memberitahu media, pesakit yang meninggal dunia akibat penyakit misteri itu mengalami gejala seperti demam, selsema, batuk, radang paru-paru dan masalah pernafasan.
Pegawai kesihatan berkata, lebih 60 kes demam misteri dikesan sejak awal bulan ini.
Amit Arora, pegawai daerah Kachchh dipetik media tempatan berkata, kematian mangsa kelihatan berpunca daripada radang paru-paru.
“Ia tidak kelihatan berpunca daripada pencemaran, juga tidak kelihatan seperti penyakit berjangkit.
“Sampel sedang dikumpul untuk ujian terhadap denggi, malaria, H1N1 selsema babi dan radang paru-paru. Pasukan daripada Jabatan Kesihatan sedang memantau dengan teliti,” katanya.
Pegawai menghantar 11 sampel mangsa korban ke Institut Virologi Kebangsaan di Pune untuk menentukan punca penyakit.
“Keputusan dijangka diperoleh dalam sehari atau dua,” kata Arora.
Musim ini, daerah Kachchh menerima hujan tertinggi di Gujarat, mencatatkan kira-kira 890mm hujan atau 184% daripada purata sehingga 10 Sept lalu.