Muat turun Telegram di Perancis, AS melonjak selepas Durov ditahan

Muat turun Telegram di Perancis, AS melonjak selepas Durov ditahan

Pengasas aplikasi itu ditahan atas dakwaan antaranya gagal beri maklumat diminta pihak berkuasa berkait pornografi kanak-kanak dan dadah.

telegram
Aplikasi Telegram tempat pertama dalam kategori ‘Social Networks’ di App Store Perancis. (Gambar Pexel)
MOSCOW:
Bilangan muat turun Telegram di App Store meningkat di Perancis dan Amerika Syarikat (AS) selepas pengasas aplikasi itu, Pavel Durov ditahan di Perancis, menurut laporan portal TechCrunch, dipetik Sputnik.

Di Perancis, aplikasi itu naik ke tempat pertama dalam kategori ‘Social Networks’ dan ketiga dalam kalangan semua aplikasi.

Menurut laporan yang memetik penjejak populariti aplikasi Appfigures, bagi carta aplikasi paling popular dalam kalangan pengguna di AS tidak termasuk permainan, kedudukan Telegram telah naik ke tempat kelapan berbanding kedudukan ke-18.

Menurut syarikat analisis Sensor Tower, setakat Ahad lalu, bilangan muat turun Telegram pada peranti iOS di seluruh dunia meningkat sebanyak empat peratus dalam sehari.

Durov telah ditahan di Lapangan Terbang Paris Le Bourget pada 24 Ogos.

Menurut kenyataan pejabat pendakwa raya Paris, beliau disyaki terlibat dalam beberapa kesalahan, termasuk kegagalan memberikan maklumat yang diminta kepada pihak berkuasa, dan pengurusan aplikasi mesej yang didakwa digunakan untuk pornografi kanak-kanak dan pengedaran dadah.

Menurut laporan media Perancis Durov yang juga mempunyai kewarganegaraan Perancis, berada dalam senarai dikehendaki negara itu dengan ahli perniagaan itu boleh berdepan hukuman penjara sehingga 20 tahun.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.