AS, UK minta warganya segera tinggalkan Lubnan

AS, UK minta warganya segera tinggalkan Lubnan

AS sedia pinjaman repatriasi kepada warganya yang kekurangan dana untuk pulang.

Ketegangan semakin memuncak antara Israel dengan Lubnan susulan kematian pemimpin kanan Hezbollah, Fuad Shukr. (Gambar AP)
ISTANBUL:
Amerika Syarikat (AS) dan United Kingdom (UK) mengeluarkan amaran kepada warganya segera meninggalkan Lubnan, di tengah kebimbangan peningkatan konflik dengan Israel.

Kedutaan AS di Beirut memaklumkan, penerbangan beberapa syarikat penerbangan telah dibatalkan, tetapi pilihan pengangkutan komersial masih tersedia, lapor Agensi Anadolu.

“Kami menggalakkan mereka yang ingin meninggalkan Lubnan untuk menempah tiket yang tersedia, walaupun penerbangan itu tidak berlepas serta-merta atau tidak mengikut laluan pilihan pertama mereka.

“Warga AS yang kekurangan dana untuk kembali ke AS boleh menghubungi kedutaan untuk bantuan kewangan melalui pinjaman repatriasi,” menurut kedutaan dalam kenyataan.

Kedutaan itu menggesa mereka memutuskan kekal di negara itu, supaya “membuat rancangan kontigensi untuk situasi kecemasan dan bersedia mencari tempat perlindungan untuk jangka masa yang panjang.”

“UK terus menasihatkan agar rakyatnya tidak melakukan perjalanan ke Lubnan dan warga Britain yang masih berada di negara itu untuk pulang sementara penerbangan komersial masih tersedia.

“Konsular akan membantu dengan perancangan strategik dan menjawab pertanyaan daripada warga Britain untuk memastikan mereka mendapat bantuan dan nasihat yang diperlukan, dan pasukan sempadan mengerahkan pegawai untuk membantu operasi konsular,” menurut kedutaan.

UK menghantar pegawainya ke Asia Barat termasuk Lubnan untuk memberi sokongan tambahan kepada kakitangan kedutaan sebagai sebahagian daripada perancangan persediaan kerajaan terhadap pelbagai kemungkinan senario konflik, dengan ketegangan serantau semakin meningkat.

Beberapa syarikat penerbangan dari AS, Belanda, India, UK, Jerman, Switzerland, Itali, Greece, Perancis, dan Poland mengumumkan pembatalan beberapa penerbangan ke Israel dan Lubnan atas sebab keselamatan.

Lubnan kini berada dalam keadaan berjaga-jaga dan kesiapsiagaan tentera yang tinggi selepas serangan udara Israel di pinggir selatan Beirut pada Selasa mengakibatkan kematian pemimpin kanan Hezbollah, Fuad Shukr.

Kebimbangan meningkat mengenai perang antara Israel dan kumpulan penentang Lubnan di tengah-tengah serangan rentas sempadan yang berlarutan selama beberapa bulan.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.