Bahaya bunuh Ismail Haniyeh, kata PM Palestin

Bahaya bunuh Ismail Haniyeh, kata PM Palestin

Sambil mengutuk keras pembunuhan pemimpin Hamas itu, Mahmoud Abbas menyeru rakyat Palestin bersatu dan tabah berdepan pendudukan Israel.

Tindakan membunuh Ismail Haniyeh sebagai pengecut, kata Presiden Palestin Mahmoud Abbas. (Gambar AP)
RAMALLAH:
Presiden Palestin Mahmoud Abbas mengutuk sekeras-kerasnya pembunuhan pemimpin Hamas dan ketua biro politik Ismail Haniyeh, menyifatkannya sebagai tindakan pengecut dan perkembangan berbahaya.

Presiden menyeru rakyat Palestin agar bersatu, bersabar, dan tabah dalam menghadapi pendudukan Israel, lapor Agensi Berita Palestin (WAFA).

Sementara itu, Setiausaha Agung Jawatankuasa Eksekutif Pertubuhan Pembebasan Palestin (PLO) Hussein al-Sheikh juga mengutuk sekeras-kerasnya pembunuhan itu.

“Kami mengecam dan mengutuk sekeras-kerasnya pembunuhan ketua Biro Politik, pemimpin negara, Ismail Haniyeh,” katanya dalam hantaran di platform X.

“Kami menganggapnya sebagai tindakan pengecut, yang mendorong kami untuk kekal lebih teguh dalam menghadapi pendudukan dan menekankan keperluan untuk mencapai perpaduan pasukan dan puak-puak Palestin.”

Hamas mengumumkan awal Rabu bahawa ketua biro politiknya terbunuh dalam serangan udara Israel yang menyasarkan kediamannya di ibu negara Iran, Tehran, menurut laporan media antarabangsa.

Televisyen kerajaan Iran juga melaporkan kematian Ismail, menyatakan bahawa siasatan ke atas pembunuhan itu sedang dijalankan dan hasilnya akan diumumkan tidak lama lagi.

Tiada pengumuman segera dibuat oleh Israel mengenai insiden itu.

Ismail berada di Tehran untuk menghadiri majlis pelantikan presiden Iran yang baharu Masoud Pezeshkian pada Selasa.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.