
Nepal mempunyai rekod tidak baik dalam keselamatan penerbangan dan republik Himalaya itu menyaksikan sejumlah pesawat ringan dan helikopter terhempas selama beberapa dekad ini.
Pesawat Saurya Airlines itu membawa dua anak kapal dan 17 kakitangan syarikat untuk penerbangan ujian, kata jurucakap polis Nepal, Dan Bahadur Karki kepada AFP.
Katanya, juruterbang itu sedang dirawat, manakala 18 mayat ditemui, termasuk seorang warga asing dan pihaknya dalam proses membawa mayat untuk dibedah siasat.
Penerbangan itu sedang menjalankan ujian sama ada untuk tujuan teknikal atau penyelenggaraan, kata Gyanendra Bhul dari Pihak Berkuasa Penerbangan Awam Nepal kepada AFP tanpa memberikan butiran lanjut.
Bahadur dan Bhul tidak dapat mengesahkan kerakyatan satu-satunya warga asing dalam pesawat terbabit.
Imej dikongsi tentera Nepal menunjukkan badan pesawat itu terbelah dua dan hangus.
Pesawat itu terhempas kira-kira 11.15 pagi waktu tempatan, kata tentera dalam kenyataan sambil menambah pasukan respons pantasnya turut menyertai usaha menyelamat.
Portal berita Khabarhub melaporkan pesawat itu terbakar selepas terbabas di landasan.
Pesawat itu dijadualkan terbang di laluan udara paling sibuk di Nepal antara Kathmandu dan Pokhara, hab pelancongan penting di republik Himalaya itu.
Saurya Airlines menggunakan jet Bombardier CRJ 200, menurut laman webnya.
Industri penerbangan Nepal berkembang pesat beberapa tahun kebelakangan ini, membawa kargo dan penumpang antara kawasan sukar dicapai, serta pengembara dan pendaki.
Tetapi, ia dibelenggu tahap keselamatan lemah kerana latihan dan penyelenggaraan tidak mencukupi, ditambah geografi berbahaya republik pergunungan itu.
Kesatuan Eropah melarang semua syarikat penerbangan Nepal memasuki ruang udaranya atas kebimbangan keselamatan.
Landasan di Nepal antara yang paling sukar mendarat di dunia, dikelilingi puncak gunung dilitupi salji dan cuaca boleh berubah sekelip mata di kawasan pergunungan, mewujudkan keadaan penerbangan berbahaya.
Nahas udara terakhir yang membabitkan pesawat komersial besar Nepal berlaku pada Januari 2023, apabila Yeti Airlines terhempas semasa mendarat di Pokhara, mengorbankan semua 72 penumpang.
Pada 1992, semua 167 penumpang dalam pesawat Pakistan, International Airlines maut apabila ia terhempas ketika menghampiri lapangan terbang Kathmandu.
Awal tahun sama, sebuah pesawat Thai Airways terhempas berhampiran lapangan terbang sama, meragut 113 nyawa.