Bangladesh lanjut perintah berkurung, kerajaan didesak keluar notis kuota baharu

Bangladesh lanjut perintah berkurung, kerajaan didesak keluar notis kuota baharu

Pemimpin pelajar terlibat dalam gerakan anti-kuota berkata, kerajaan perlu mematuhi perintah Mahkamah Agung mengurangkan kuota perkhidmatan awam kepada 7%.

Bangladesh Campus Violenc
Anggota polis mengawal di luar Mahkamah Agung Bangladesh di Dhaka semalam. (Gambar AP)

DHAKA/ISTANBUL: Perintah berkurung di Bangladesh memasuki hari ketiga berturut-turut pada Isnin selepas pelajar mendesak kerajaan mengeluarkan notis rasmi mengenai kuota baharu bagi perkhidmatan awam.

Pemimpin pelajar terlibat dalam gerakan anti-kuota berkata, kerajaan perlu mematuhi perintah Mahkamah Agung mengurangkan kuota perkhidmatan awam kepada 7%, termasuk 5% untuk keluarga veteran perang, lapor Agensi Anadolu.

Sebelum ini, kuota 56% dalam perkhidmatan awam mencetuskan protes besar-besaran dalam kalangan pelajar, menyebabkan pertempuran ganas antara penunjuk perasaan dan kerajaan.

Sejak minggu lalu, jumlah kematian akibat demonstrasi meningkat kepada 143 orang, manakala ribuan lagi cedera, menurut sumber kesihatan.

Kerajaan memutuskan jaringan internet jalur lebar dan mudah alih pada Khamis serta melaksanakan perintah berkurung di seluruh negara pada malam Jumaat.

Perintah berkurung masih dikuat kuasa sehingga kini.

Bagi meredakan kemarahan pelajar, kerajaan membawa kes ke Mahkamah Agung pada Ahad yang memerintahkan pentadbiran Perdana Menteri, Sheikh Hasina mengurangkan kuota kepada 7% dalam perkhidmatan awam.

Namun, pelajar mendakwa arahan rasmi mengenai keputusan itu belum dikeluarkan.

Protes menentang sistem kuota 56% meningkat minggu lepas menyebabkan kerajaan menutup institusi pendidikan sebagai tindak balas.

Sebanyak 30% daripada kuota 56% perkhidmatan awam diperuntukkan buat keluarga veteran perang kemerdekaan 1971.

Susulan sekatan internet, aliran maklumat dari Bangladesh berkurangan dan kebanyakan media tempatan tidak dapat mengemas kini laman sesawang mereka.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.