
“Tiada siapa yang mahukan perang perdagangan. Kami tidak mahu melihat sebarang tindakan balas,” kata Ketua Eksekutif Persatuan Pengilang dan Peniaga Motor United Kingdom (SMMT), Mike Hawes, ketika mengulas mengenai kenaikan tarif itu.
Walaupun situasi semasa tidak memberi kesan langsung kepada United Kingdom (UK), terdapat ketidakpastian dalam beberapa bulan akan datang apabila rundingan diteruskan antara EU dan China mengenai kenaikan tarif yang dirancang, selain pilihan raya presiden AS yang diadakan pada akhir tahun ini.
Menurut Hawes, industri permotoran UK sedang memantau situasi berkenaan dengan rapat.
Dalam temu bual dengan Xinhua baru-baru ini, Hawes menekankan bahawa Britain adalah pasaran yang sangat terbuka dengan pengguna yang menyukai teknologi dan beberapa jenama China telah memasuki pasaran dalam beberapa tahun kebelakangan ini.
Jenama-jenama itu menyediakan lebih banyak pilihan, menurunkan kos untuk pengguna, serta merangsang inovasi dan persaingan dalam industri.
“Selagi persaingan itu adil, maka semua pihak adalah pemenang,” kata Hawes.
Hawes menyatakan jenama China memegang kira-kira empat peratus daripada keseluruhan pasaran dan kira-kira 10% daripada pasaran kereta elektrik.
Selain itu, kira-kira 30% daripada semua kereta elektrik yang dijual di UK berasal dari China, termasuk bukan jenama China.
Data SMMT menunjukkan bahawa kira-kira 16-17% daripada kereta baharu yang dijual di UK tahun ini adalah EV, iaitu di bawah mandat kerajaan yang memerlukan setiap jenama memastikan 22% daripada jualan kenderaan baharu mereka tahun ini sifar pelepasan karbon.