Presiden Afrika Selatan umum Kabinet baharu

Presiden Afrika Selatan umum Kabinet baharu

Antara yang dilantik termasuk pesaing politik utamanya, John Steenhuisen sebagai menteri pertanian.

Cyril Ramaphosa
Cyril Ramaphosa, 71, dilantik sebagai presiden Afrika Selatan untuk penggal kedua pada 15 Jun. (Gambar AP)
JOHANNESBURG:
Presiden Afrika Selatan Cyril Ramaphosa pada Ahad mengumumkan barisan Jemaah Menteri kerajaan perpaduan nasional yang dibentuknya, dengan mengekalkan Paul Mashatile sebagai timbalannya.

Ramaphosa juga melantik Ronald Lamola, 40, sebagai menteri perhubungan antarabangsa dan kerjasama yang baharu, menggantikan Naledi Pandor, lapor Agensi Anadolu.

Lamola, bekas menteri kehakiman dan hal ehwal perlembagaan, merupakan antara anggota Jemaah Menteri yang termuda.

Ramaphosa turut melantik pesaing politik utamanya, pemimpin DA John Steenhuisen sebagai menteri pertanian dan mengekalkan Enoch Godongwana sebagai menteri kewangan.

“Lelaki dan wanita yang dilantik ke jawatan ini dipilih dari seluruh pelosok negara,” kata Ramaphosa.

“Tiada seorang pun anggota eksekutif perpaduan nasional dilantik untuk memenuhi kepentingan sesebuah kawasan, parti atau kelompok masyarakat tertentu.”

Sebanyak 11 parti politik mencapai persetujuan membentuk kerajaan perpaduan nasional selepas parti Ramaphosa, African National Congress (ANC) yang memerintah Afrika Selatan selama tiga dekad hilang majoriti susulan pilihan raya pada 29 Mei.

Anggota Parlimen Afrika Selatan melantik semula Ramaphosa, 71, pada 15 Jun sebagai presiden untuk penggal kedua semasa persidangan pertama badan perundangan.

Pada 19 Jun, beliau secara rasmi mengangkat sumpah sebagai presiden ketujuh yang dipilih secara demokrasi.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.