13 maut minum arak tiruan di India

13 maut minum arak tiruan di India

Kira-kira 50 orang lagi yang sebahagian besarnya golongan miskin bergaji harian jatuh sakit selepas minum arak murah dijual dalam pek plastik.

Media tempatan melaporkan mangsa kehilangan penglihatan dan pendengaran secara tiba-tiba, selain sakit perut dan muntah selepas minum arak tiruan itu. (Gambar Rawpixel)
NEW DELHI:
Sekurang-kurangnya 13 maut pada Rabu selepas minum arak tiruan di negeri Tamil Nadu, India.

Kematian itu direkodkan di daerah Kallakurichi, kira-kira 250km dari ibu negeri Chennai.

Mangsa kehilangan penglihatan dan pendengaran secara tiba-tiba, selain sakit perut dan muntah, menurut laporan media tempatan.

Kira-kira 50 orang yang sebahagian besarnya golongan miskin bergaji harian jatuh sakit selepas minum arak murah dijual dalam pek plastik dan ramai sedang menerima rawatan di hospital.

Ketua Menteri negeri, MK Stalin berikrar akan mengambil tindakan tegas terhadap pihak terbabit dalam penjualan arak haram itu.

Peminum yang tidak mampu membeli arak berjenama sering membeli arak tiruan daripada penjual haram dan kematian akibat minuman keras haram bukan perkara luar biasa di India.

Seramai 22 orang mati akibat arak beracun di daerah Villupuram dan Chengalpattu, Tamil Nadu pada Mei 2023.

Di negeri Gujarat, barat India, yang pengambilan dan penjualan arak secara rasmi dilarang, arak tiruan mengorbankan 46 orang pada Julai 2022.

Pada 2019, arak haram membunuh 150 orang di negeri Assam, timur laut India dan kira-kira 100 orang di negeri utara Uttarakhand serta Uttar Pradesh.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.