
PETALING JAYA: Sekurang-kurangnya tujuh bayi baru lahir maut dan lima lagi cedera apabila sebuah pusat penjagaan bayi di Vivek Vihar, timur Delhi, terbakar lewat malam Sabtu, lapor Xinhua memetik pegawai bomba Delhi.
Kebakaran itu dilaporkan bermula selepas sebuah silinder oksigen meletup, dengan asap tebal kemudian menyelubungi seluruh bangunan, menyebabkan kekecohan di dalamnya, kata seorang saksi.
Kebakaran bagaimanapun berjaya dikawal, dan bayi-bayi yang cedera dipindahkan ke hospital lain, dengan salah seorang mangsa dilaporkan berada dalam keadaan serius.
Polis Delhi dilaporkan berkata, pemilik pusat itu telah melarikan diri.
“Punca kejadian sedang disiasat dan pihak yang bertanggungjawab atas kecuaian ini tidak akan terlepas,” kata Ketua Menteri Delhi Arvind Kejriwal dalam satu catatan di platform X.