
Laporan yang dikeluarkan pada Khamis itu memberikan lebih banyak maklumat mengenai insiden yang berlaku pada 19 Mei lepas, yang mengorbankan Ebrahim dan ahli delegasinya termasuk Menteri Luar Hossein Amirabdollahian, apabila helikopter yang membawa mereka terhempas di barat laut Iran, lapor Agensi Berita Republik Islam (IRNA).
Sebuah pasukan penyiasat yang ditugaskan menyiasat insiden tersebut dihantar ke lokasi kemalangan pada Isnin, menurut laporan itu.
Pasukan tersebut berjaya mengumpul “sebahagian besar” maklumat yang diperlukan untuk menyiasat unsur-unsur yang mungkin menyumbang kepada insiden itu, tambahnya.
Helikopter yang turut membawa pegawai kanan itu terhempas ketika terbang di sepanjang laluan yang telah dirancang dan tidak menyimpang, menurut laporan berkenaan.
Helikopter tersebut terbakar selepas terhempas di kawasan pergunungan dan laporan itu mendedahkan bahawa bangkai pesawat itu tidak mempunyai sebarang kesan peluru mahupun kesan yang serupa.
Menurut laporan itu, lokasi kemalangan dikesan oleh dron Iran pada 5 pagi (waktu tempatan) Isnin, dan pasukan mencari tiba tidak lama kemudian.
Komunikasi yang berlaku sebelum insiden antara pesawat dan kawalan darat tidak mengandungi kandungan yang “mencurigakan”, katanya.
Penemuan susulan akan diberitahu pada masa yang sesuai, tambahnya.