1 maut, 13 cedera dalam 2 serangan bom di Narathiwat

1 maut, 13 cedera dalam 2 serangan bom di Narathiwat

Polis berkata serangan itu menyasarkan anggota sukarelawan pertahanan yang bertugas mengawal keselamatan.

Polis Thailand berkata setakat ini tiada pihak yang mengaku bertanggungjawab melakukan serangan bom di Daerah Jok Irong dan Sukhirin di Narathiwat itu. (Gambar fail)
NARATHIWAT:
Seorang maut dan 13 cedera termasuk seorang anggota polis dalam dua letupan bom di Daerah Jok Irong dan Sukhirin di Narathiwat, selatan Thailand, pagi tadi.

Ketua Polis Region 9, Piyawat Chalermsi berkata kejadian letupan bom pertama berlaku pada 7.20 pagi, yang menyasarkan anggota sukarelawan pertahanan yang bertugas mengawal keselamatan jalan di Jok Irong.

“Enam anggota sukarelawan pertahanan cedera dalam kejadian pertama dan mereka telah dibawa ke Hospital Jok Irong untuk menerima rawatan kecemasan,” katanya dalam kenyataan.

Beliau berkata siasatan awal polis di tempat kejadian menemui serpihan bom yang dipasang dalam tong gas di tepi jalan.

Manakala dalam kejadian letupan kedua, Piyawat berkata, bom yang di pasang di tepi jalan Kampung Air Jambu Daerah Sukhirin meletup pada pukul 8.10 pagi dan menyebabkan tujuh anggota sukarelawan pertahanan cedera.

“Tujuh anggota yang cedera telah dihantar ke Hospital Sukhirin untuk menerima rawatan. Bagaimanapun, seorang mangsa berusia 41 tahun yang cedera meninggal dunia pada tengah hari tadi,” katanya.

Piyawat berkata seorang anggota polis daripada unit pemusnah bom yang sedang membuat siasatan kes itu turut cedera parah selepas terpijak bom yang ditanam di tepi jalan di Sukhirin.

“Anggota yang cedera parah di bahagian kaki, terpaksa dipindah dari Hospital Sukhirin ke Hospital Songkhla Nakharin di Hatyai dengan menggunakan helikopter untuk menerima rawatan,” katanya.

Bagaimanapun, beliau berkata setakat ini masih belum ada mana-mana kumpulan yang mengakui bertanggungjawab melakukan serangan itu.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.