
Pengisytiharan pengampunan untuk sarjan tentera AS, Daniel Perry dibuat sejurus Lembaga Pengampunan dan Parol Texas sebulat suara mengesyorkan pengampunan penuh serta hak memiliki senjata api dikembalikan susulan siasatan lembaga itu atas permintaan gabenor.
Perry didapati bersalah pada April 2023 kerana menembak mati Garrett Foster, 28, veteran Tentera Udara AS dalam protes BLM di Austin pada Julai 2020.
Demonstrasi itu menyusul pelbagai protes di seluruh AS terhadap ketidakadilan kaum dan kekejaman polis selepas pembunuhan George Floyd oleh pegawai Minneapolis pada Mei 2020.
Perry menegaskan dia mempertahankan diri ketika menembak Foster. Katanya, dia tiada pilihan kecuali melepaskan tembakan apabila Foster mengacukan AK-47 ke arahnya. Perry dan Foster berkulit putih.
Perry memandu di bandar pada malam kejadian dan membelok ke jalan di mana penunjuk perasaan sedang berarak, menyebabkan orang ramai percaya mereka dalam bahaya diserang oleh kenderaannya, menurut laporan media.
Dalam perbicaraan, kedua-dua pihak membentangkan keterangan bercanggah sama ada Foster mengacukan senjata apinya ke arah Perry.
Abbott berkata, sehari selepas Perry disabitkan bersalah, beliau akan memohon pengampunan di bawah undang-undang “stand-your-ground” negeri itu yang membenarkan penggunaan senjata api untuk mempertahankan diri.
“Undang-undang ‘Stand Your Ground’ di Texas antara paling kuat untuk mempertahankan diri yang tidak boleh dibatalkan juri atau peguam daerah progresif,” kata Abbott dalam pengisytiharan pengampunan itu.