
Operasi mencari mangsa hilang disambung hari ini berikutan beberapa peralatan jentera berat dibawa ke lokasi kejadian, kata ketua unit pemulihan dan pembinaan semula agensi pengurusan dan mitigasi bencana wilayah, Ilham Wahab.
“Jumlah mayat ditemui kini 52 orang dan jumlah hilang ialah 17 orang. Angka ini akan terus berubah apabila orang ramai terus melaporkan ahli keluarga mereka yang hilang,” katanya kepada Xinhua melalui telefon.
Wahab berkata, selepas bantuan kecemasan, ia akan diikuti program pembinaan semula dan rehabilitasi.
Pakar akan dilibatkan untuk mempertimbangkan sama ada perlu memindahkan penduduk di kawasan berbahaya, seperti tepi sungai yang hulunya di lereng Gunung Marapi dan Singgalang, yang masih meletus serta mengeluarkan bahan volkanik.
Ketua Badan Nasional Pengurusan Bencana (BNPB) Indonesia berkata, bencana alam itu menyebabkan lebih 3,000 orang terpaksa melarikan diri dan berlindung di kawasan lebih selamat.
“Membaiki jalan rosak antara keutamaan,” katanya dalam pesanan ringkas sambil menambah keperluan asas penduduk yang terjejas banjir akan dipenuhi.
Hujan lebat pada Sabtu malam menyebabkan air sungai melimpahi tebing, sekali gus menjejaskan Kabupaten Agam, Tanah Datar Pariaman dan Pekan Padang Panjang.