61 maut di Thailand akibat gelombang haba

61 maut di Thailand akibat gelombang haba

Angka itu lebih dua kali ganda daripada jumlah kes strok haba direkodkan sepanjang 2023.

Gelombang haba yang melanda beberapa minggu kebelakangan ini menyebabkan suhu pada waktu malam kekal sekitar 30 darjah Celsius di Bangkok dan banyak kawasan lain di Thailand. (Gambar Bernama)
BANGKOK:
Gelombang haba luar biasa dengan suhu dirasai melebihi 52 darjah Celsius setakat ini meragut 61 nyawa di Thailand, menurut laporan agensi berita Jerman (dpa) yang memetik laporan Kementerian Kesihatan di Bangkok pada Jumaat.

Angka ini lebih dua kali ganda daripada jumlah kes strok haba direkodkan sepanjang 2023. Kebanyakan kematian berlaku di bahagian timur laut yang pertanian merupakan sektor penting ekonomi.

Gelombang haba yang melanda beberapa minggu kebelakangan ini menyebabkan suhu pada waktu malam kekal sekitar 30 darjah Celsius di Bangkok dan banyak kawasan lain di negara ini.

Suhu tengah hari yang dirasai – ukuran yang turut mengambil kira kelembapan dan kelajuan angin, selain suhu udara – sering melebihi 50 darjah Celsius.

Pihak berkuasa menggesa orang ramai mengehadkan masa di luar rumah.

Hujan turun di kebanyakan kawasan pada awal minggu ini buat julung kali dalam beberapa bulan. Suhu pada mulanya turun, tetapi sejak itu meningkat semula melebihi 30 darjah Celsius.

Pakar cuaca mengaitkan suhu tinggi ini dengan fenomena El Nino, tetapi menurut Pertubuhan Meteorologi Sedunia Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu, Asia juga mengalami pemanasan lebih cepat berbanding purata global.

Bangladesh, Vietnam, Myanmar dan Filipina turut mengalami suhu luar biasa tinggi.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.