Estonia benar undi guna telefon bimbit

Estonia benar undi guna telefon bimbit

Di peringkat antarabangsa prosedur itu menimbulkan kebimbangan kebolehpercayaan.

handphone
Estonia terkenal sebagai perintis dan pelopor dalam digitalisasi dan pentadbiran elektronik di Eropah. (Gambar Freepik)
RIGA:
Rakyat Estonia akan dapat mengundi pada pilihan raya melalui telefon bimbit selepas Parlimen di Tallinn meluluskan rang undang-undang berkaitan kerajaan negara anggota Kesatuan Eropah (EU) dan Pertubuhan Perjanjian Atlantik Utara (NATO) di rantau Baltik itu pada Selasa, lapor Agensi Berita Jerman (dpa).

Menurut rang undang-undang itu, pengundian elektronik bukan sahaja boleh dilakukan menerusi komputer, tetapi juga melalui aplikasi khas untuk sistem operasi biasa pada peranti mudah alih.

Keperluan teknikal akan ditentukan oleh suruhanjaya pilihan raya sebelum setiap pilihan raya.

Perubahan undang-undang itu dijangka berkuat kuasa pada Oktober. Namun, pilihan pengundian melalui telefon bimbit tidak dapat digunakan untuk pilihan raya parlimen Eropah pada Jun.

Menteri Hal Ehwal Ekonomi dan IT Estonia, Tiit Riisalo berkata peraturan baharu itu bertujuan untuk menyesuaikan diri dengan perubahan tingkah laku penggunaan rakyat.

“Sebahagian besar aktiviti digital harian rakyat kini beralih daripada komputer ke peranti pintar dan e-Estonia mesti dapat diakses oleh semua di platform baharu dan meluas ini,” kata menteri itu.

Pada 2005, Estonia menjadi negara pertama di Eropah yang membenarkan pengundian dalam talian dalam pilihan raya politik.

Di peringkat antarabangsa, prosedur ini masih kontroversi di banyak tempat kerana kebimbangan terhadap kebolehpercayaannya.

Di negara Baltik yang sering digelar sebagai e-Estonia ini, ia telah menjadi kebiasaan: Lebih separuh daripada semua undian dibuat secara digital dalam pilihan raya parlimen pada Mac 2023.

Seramai 1.2 juta rakyat negara Baltik itu juga boleh melakukan hampir segala-galanya secara dalam talian dalam kehidupan seharian mereka.

Estonia dianggap sebagai perintis dan pelopor dalam digitalisasi dan pentadbiran elektronik di Eropah.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.