Banjir di Afrika Timur jejas 750,000 orang, lebih 200 maut

Banjir di Afrika Timur jejas 750,000 orang, lebih 200 maut

Seramai 234,000 lagi hilang tempat tinggal akibat banjir teruk di Afrika Timur, menurut agensi PBB.

Rizab Negara Maasai Mara turut ditenggelami banjir menyebabkan puluhan pelancong terkandas di Kaunti Narok, Kenya. Ekoran banjir teruk melanda Afrika Timur, lebih 285,000 penduduk Kenya dilaporkan terjejas. (Gambar AP/Bobby Neptune)
NEW YORK:
Pertubuhan kemanusiaan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) berkata pada Isnin, hampir 750,000 orang terjejas akibat banjir teruk di Afrika Timur, dengan 234,000 hilang tempat tinggal dan lebih 236 terkorban, sebahagian besarnya di Kenya, lapor Xinhua.

Pejabat PBB bagi Penyelarasan Hal Ehwal Kemanusiaan (Ocha) juga berkata, pihak berkuasa tempatan Kenya melaporkan lebih 285,000 penduduknya terjejas.

“PBB dan rakan kongsi kami menyokong tindak balas yang diterajui kerajaan dan telah menghulurkan bantuan air dan sanitasi kepada lebih 126,000 orang; bantuan makanan dan wang tunai kepada 31,000 orang; perkhidmatan kesihatan kepada lebih 5,000 orang; dan tempat perlindungan kecemasan bagi hampir 26,000 orang,” katanya.

Pejabat itu berkata, di Somalia, lebih 160,000 orang terjejas banjir, dengan lebih 37,000 dipindahkan. Banjir mengorbankan tujuh kanak-kanak sejak 19 April, dengan negeri Hirshabelle, Jubaland dan Barat Daya antara yang paling teruk terjejas.

Agensi kemanusiaan berkata, pihak berkuasa tempatan menyediakan lebih 70,000 orang dengan makanan, wang tunai, air, sanitasi, tempat tinggal dan bantuan kesihatan. Kira-kira 50 bot dikerah menghantar bekalan atau memindahkan penduduk yang mungkin terperangkap.

“Rakan kongsi kami menganggarkan, hujan dan banjir boleh menjejaskan sekurang-kurangnya 770,000 orang di Somalia.

“Hujan juga berkemungkinan memburukkan lagi wabak taun yang sedang berlaku di negara ini,” kata Ocha.

Menurut agensi kemanusiaan itu, di Burundi, hujan lebat dan kenaikan paras air Tasik Tanganyika menjejaskan hampir 180,000 orang sejak Januari.

Sektor pertanian terjejas teruk, dengan pihak berkuasa negara menganggarkan 40,000 hektar, atau 10% kawasan tanaman negara, terjejas.

“Pelan tindak balas banjir yang memohon US$25 juta sedang dimuktamadkan untuk menyokong lebih 300,000 orang,” kata Ocha.

“Rakan kongsi kami menyediakan sokongan penjagaan kesihatan, air minuman, tarpaulin dan sokongan psikososial.”

Agensi kemanusiaan itu berkata, di Tanzania, kerajaan dan rakan kongsi mengerah pasukan mencari dan menyelamat mengagihkan bantuan kecemasan termasuk makanan, tilam, kelambu dan khemah untuk membantu penduduk yang terjejas banjir.

Di Rwanda pula, katanya, hujan lebat dan banjir membunuh dan mencederakan puluhan orang dan merosakkan jalan raya, jambatan dan ratusan rumah. Pihak berkuasa tempatan melaporkan beberapa hektar ladang padi dan pisang turut rosak.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.