Gunung Ruang meletus lagi, 7 lapangan terbang ditutup, abu sampai ke Malaysia

Gunung Ruang meletus lagi, 7 lapangan terbang ditutup, abu sampai ke Malaysia

Letusan Gunung Ruang pada Selasa memuntahkan abu sehingga Borneo, yang dikongsi Malaysia dengan Indonesia dan Brunei.

Gunung Ruang meletus tiga kali semalam, memaksa pihak berkuasa mengarahkan pemindahan 12,000 penduduk. (Gambar PVMBG/AP)
RUANG:
Letusan Gunung Ruang memaksa tujuh lapangan terbang ditutup, dengan abunya merebak ke Malaysia dan pihak berkuasa bergegas memindahkan ribuan penduduk atas kebimbangan berlaku tsunami.

Gunung berapi itu meletus tiga kali semalam, memuntahkan lahar dan abu lebih 5km ke udara serta memaksa pihak berkuasa mengeluarkan arahan pemindahan 12,000 penduduk.

Sebuah kapal penyelamat dan kapal perang dikerahkan untuk membantu pemindahan ribuan penduduk dari pulau berhampiran, Tagulandang ke Pulau Siau susulan amaran berhubung potensi tsunami kerana sebahagian gunung berapi itu runtuh.

“Gunung itu meletus. Berlaku hujan batu dua kali. Yang kedua memang lebat menyebabkan rumah yang jaraknya jauh dari gunung turut terkena,” kata penduduk Tagulandang, Rosalin Salindeho, 95.

Badan Meteorologi, Klimatologi dan Geofisika (BMKG) Indonesia berkongsi peta pada pagi Rabu menunjukkan abu gunung berapi itu merebak sehingga Malaysia Timur.

Penyebaran abu itu memaksa tujuh lapangan terbang ditutup, yang terbesar di ibu kota wilayah Manado dan bandar Gorontalo, menurut notis dikeluarkan penyedia kawalan trafik udara kerajaan, AirNav Indonesia.

Julius Ramopolii, ketua memantau Gunung Ruang, berkata gunung berapi itu masih memuntahkan abu dan asap pada pagi Rabu.

“Kepulan asap jelas kelihatan, kelabu dan tebal serta mencecah 500-700m di atas kawah,” katanya dalam kenyataan.

Beliau berkata, tahap amaran kekal tertinggi daripada sistem empat peringkat dan penduduk digesa kekal di luar zon pengecualian 7km.

Sebahagian kawah Gunung Anak Krakatau, antara Jawa dan Sumatera, runtuh ketika letusan besar pada 2018 yang kemudian jatuh ke laut dan mencetuskan tsunami meragut lebih 400 nyawa serta mencederakan ribuan orang.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.