Polis Indonesia bongkar pemerdagangan manusia di sebalik latihan praktikal di Jerman

Polis Indonesia bongkar pemerdagangan manusia di sebalik latihan praktikal di Jerman

Pihak berkuasa Indonesia berkata pelajar dieksploitasi untuk bekerja secara haram.

Kedutaan Indonesia mendapati 1,047 pelajar telah dihantar ke Jerman untuk menyertai program latihan praktikal haram itu. (Gambar BEA Cukai Bengkalis)
JAKARTA:
Polis Indonesia sedang menyiasat rangkaian pemerdagangan manusia berselindung di sebalik program latihan praktikal di Jerman yang dikenali sebagai ‘Ferienjob’.

Menurut Jabatan Siasatan Jenayah, program disertai pelajar universiti bertentangan dengan objektif Ferienjob, satu skim rasmi di Jerman untuk pelajar di sana bekerja semasa cuti semester.

“Mereka telah dieksploitasi untuk bekerja secara haram dan tidak mengikut prosedur,” kata Pengarah Jenayah Am, Djuhandhani Rahardji Puro dalam kenyataan.

Siasatan bermula susulan laporan Kedutaan Indonesia di Berlin mengenai empat pelajar yang meminta bantuan berhubung program latihan praktikal dijalani.

Kedutaan mendapati seramai 1,047 pelajar daripada 33 universiti telah dihantar ke Jerman untuk menyertai program latihan praktikal haram itu.

Djuhandhani berkata, polis telah mengenal pasti lima warga tempatan – tiga berada di Indonesia dan dua lagi berada di Jerman – untuk membantu siasatan.

Individu berkenaan dikatakan mempunyai peranan masing-masing termasuk menjalinkan kerjasama dengan universiti dan agensi penempatan pelajar di Jerman, mempromosi program, pengurusan visa serta dokumen berkaitan.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.