
Pengawal pantai AS dan pegawai polis Maryland berkata, berdasarkan suhu air yang sejuk dan tempoh lama selepas jambatan itu runtuh, peluang enam pekerja hilang itu ditemui selamat adalah tipis.
Kapal kontena berbendera Singapura bernama Dali, yang dalam perjalanan keluar dari pelabuhan itu menuju Sri Lanka, merempuh tiang sokongan Jambatan Francis Scott Key di muara Sungai Patapsco kira-kira 1.30 pagi.
Kenderaan dan penumpang terjunam ke sungai apabila bahagian berpalang sepanjang 2.57km itu runtuh dan jatuh ke air berais.
Dua mangsa diselamatkan pasukan penyelamat, dengan seorang daripadanya dimasukkan ke hospital. Pihak berkuasa berkata, operasi mencari dan menyelamat dihentikan sementara kira-kira 18 jam selepas tragedi itu.
Pegawai berkata, lapan mangsa merupakan sebahagian daripada kru kerja yang sedang menurap jalan berlubang di jambatan itu ketika tragedi berlaku.
Kapal kargo itu melaporkan gangguan bekalan elektrik sebelum rempuhan, yang membolehkan pegawai menghentikan lalu lintas di jambatan sebelum ia runtuh.
“Dengan menghalang kereta melalui jambatan itu, mereka menjadi wira. Mereka menyelamatkan nyawa malam tadi,” kata Gabenor Maryland, Wes Moore dalam taklimat beberapa jam kemudian. Jambatan itu tidak mengalami sebarang masalah struktur yang diketahui.
Pegawai berkata, tiada bukti tragedi itu berlaku akibat perbuatan khianat.