Polis Thai tumpas sindiket seludup, rampas 300,000 liter bahan api

Polis Thai tumpas sindiket seludup, rampas 300,000 liter bahan api

Pihak berkuasa negara itu percaya bekalan itu diambil sama ada dari Malaysia atau Singapura.

Lima kapal nelayan dan 28 kru kapal ditahan disyaki terlibat dalam sindiket seludup bahan api, di daerah Sattahip, Wilayah Chonburi. (Gambar Bernama)
BANGKOK:
Polis Thailand mematahkan sindiket penyeludupan bahan api di Teluk Thailand, kira-kira 100 batu nautika dari daerah Sattahip, Wilayah Chonburi apabila merampas lima kapal nelayan mengangkut lebih 300,000 liter bahan api bernilai 10 juta baht (RM1.31 juta).

Timbalan Komander Bahagian Pencegahan Jenayah (CSD) Pohnsak Laorujiralai, berkata bertindak atas maklumat, polis marin dan CSD menjalankan pemeriksaan di Teluk Thailand pada Ahad lalu dan menahan lima kapal nelayan termasuk 28 kru kapal.

Beliau berkata, bahan api itu mungkin dari Malaysia atau Singapura, diangkut menggunakan kapal ke perairan Thailand.

“Kami sedang menunggu maklumat daripada pihak berkuasa berkaitan selepas pemeriksaan dilakukan,” katanya.

Beliau berkata, pasukan penguat kuasa menemukan sebuah kapal nelayan yang berdaftar di Thailand mengangkut 80,000 liter bahan api, dipindahkan ke sebuah lagi kapal pada 9 pagi (waktu tempatan) pada Ahad, kira-kira 100 batu nautika dari daerah Sattahip dan mendapati dua lagi kapal dengan 150,000 liter bahan api dan 100,000 liter bahan api pada hari sama.

“Polis sedang melakukan siasatan menyeluruh untuk mengumpul lebih banyak maklumat mengenai rangkaian dan anggotanya,” katanya.

Siasatan awal mendapati kapal nelayan itu akan mengangkut bahan api berkenaan ke kapal yang lebih kecil untuk mudah berlabuh di jeti sebelum dipindahkan ke lori tangki minyak yang telah menunggu, katanya.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.