PBB minta lebih USD850 juta untuk pelarian Rohingya

PBB minta lebih USD850 juta untuk pelarian Rohingya

Wang itu bagi membiayai bantuan termasuk makanan, penjagaan kesihatan, khidmat air minuman.

Tahun lalu, PBB dan rakannya meminta USD876 juta untuk menyokong pelarian Rohingya di Bangladesh, namun hanya menerima USD440 juta. (Gambar AP)
GENEVA:
Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu (PBB) hari ini menggesa sokongan tambahan untuk pelarian Rohingya yang berada di kem-kem di Bangladesh, yang mengalami kekurangan makanan serta bantuan lain akibat masalah pembiayaan.

Dalam pelan maklum balas tahunan terhadap krisis itu, PBB merayu USD852.4 juta untuk memberikan bantuan yang begitu diperlukan tahun ini bagi pelarian Rohingya di Bangladesh serta komuniti tuan rumah mereka.

Sekitar sejuta ahli kumpulan etnik tidak bernegara itu berada di Bangladesh. Kebanyakannya melarikan diri daripada tindakan ketenteraan terhadap bangsa itu pada 2017.

Sekitar 95% isi rumah Rohingya di Bangladesh dianggap kumpulan rentan dan masih bergantung kepada bantuan kemanusiaan, menurut Agensi Pelarian PBB (UNHCR) dalam kenyataan.

“Solidariti antarabangsa dengan Bangladesh, dan perlindungan pelarian kini lebih diperlukan dalam pada konflik di Myanmar semakin meneruk,” menurut kenyataan itu.

Tahun lalu, PBB dan rakannya meminta negara-negara memberikan bantuan USD876 juta bagi membantu mereka yang terkesan akibat krisis pelarian Rohingya. Bagaimanapun, ia hanya memperoleh USD440 juta iaitu kurang separuh jumlah diminta.

UNHCR memberi amaran kekurangan pembiayaan sejak beberapa tahun lalu memberi kesan serius terhadap kumpulan berkenaan.

Ramai pelarian bergelut memenuhi keperluan asas, dengan 75% populasi pelarian yang menerima bantuan terdiri daripada wanita dan kanak-kanak.

“Lebih separuh pelarian di kem itu bawah usia 18 tahun dengan peluang pendidikan, pembinaan kemahiran dan kehidupan yang begitu terhad,” katanya.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.