Sisa bom mortar meletup di markas polis, 10 cedera

Sisa bom mortar meletup di markas polis, 10 cedera

Sisa bom mortar yang sedang menunggu untuk dimusnahkan itu meletup disebabkan cuaca panas, kata ketua polis Jawa Timur.

Ketua Polis Jawa Timur Imam Sugianto memaklumkan kesemua mangsa yang cedera menjalani rawatan semalaman di Hospital Bhayangkara Surabaya. (Gambar Secretariat ASEAN)
JAKARTA:
Sekurang-kurangnya 10 anggota polis cedera dalam kejadian letupan yang menggegarkan Markas Briged Bergerak (Brimob) Polis Indonesia di Surabaya, Jawa Timur pada Isnin.

Ketua Polis Jawa Timur Imam Sugianto berkata, mangsa yang cedera adalah antara 15 anggota yang menjalani latihan di kemudahan tertutup berhampiran gudang sementara yang meletup.

Kesemua anggota yang cedera menjalani rawatan semalaman di Hospital Bhayangkara Surabaya sebelum dibenarkan keluar pada Selasa.

“Pemeriksaan di tempat kejadian mendapati serpihan kaca bertaburan yang mengenai anggota kami,” katanya, lapor akhbar tempatan, detikJatim.

Imam berkata, letupan yang dicetuskan oleh sisa bahan letupan mortar berlaku pada 10.19 pagi waktu tempatan, menyebabkan kerosakan pada ruang pejabat dan kenderaan.

Sisa mortar itu yang sebelum ini ditemui dan dipindahkan dari kawasan perumahan sedang menunggu untuk dimusnahkan.

Beliau berkata, siasatan awal mendapati letupan itu disebabkan oleh suhu tinggi daripada cuaca panas.

Sementara itu seorang peniaga di medan selera berhampiran, Hartati berkata, beliau terdengar tiga bunyi letupan dengan yang terakhir paling kuat.

Letupan itu menggegarkan tingkap di rumah berhampiran dan pihak berkuasa bersiap sedia untuk membantu penduduk yang terjejas.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.